PETALING JAYA – Tiada istilah berehat atau ‘bulan madu’ bagi ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila ada dalam kalangan mereka sudah mula bekerja untuk mencari wang saku walaupun peperiksaan itu akan berakhir secara rasmi Selasa ini.
Antara pekerjaan yang dilakukan ialah pembantu kafe, mekanik dan pekerja kedai makan.
Selain belanja harian, mereka mahu mengumpul wang gaji untuk menyambung pengajian selain mencari pengalaman memandangkan bukan daripada keluarga yang senang.
Di Kota Bharu, Red Ronel Anak Daniel, 17, berkata, dia dan rakannya berpakat membuka bengkel kecil-kecilan di depan rumah keluarganya di Kampung Kubang Kiat minggu lalu.
“Saya tidak mahu mensia-siakan kemahiran membaiki motosikal. Selain menjana pendapatan, sekurang-kurangnya masa yang ada diisi dengan aktiviti yang berfaedah.
“Di bengkel, saya membantu rakan yang mahir dalam bidang ini. Sejak minggu lalu, kami mampu memperoleh sehingga RM120 sehari bagi upah menukar minyak pelincir, menukar tayar, menukar alat ganti dan membaiki komponen yang rosak.
“Saya menerima upah RM50 sehari dan wang itu akan disimpan untuk sambung pengajian dalam bidang automotif selepas mendapat keputusan SPM kelak,” katanya ketika ditemui.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia tidak boleh berpeluk tubuh selepas tamat SPM kerana mempunyai tanggungjawab untuk membantu keluarga kerana ibu bapanya bekerja sebagai buruh kampung.
Katanya, ini bukan pertama kali dia bekerja kerana pernah mengambil upah memasang khemah dengan upah RM70 sehari pada musim cuti sekolah sejak berusia 15 tahun.

Di Johor Bahru, membesar dalam keluarga orang bukan senang menyebabkan anak pemandu bas, Muhammad Saiful Dennial Helmizi, 17, bekerja sebagai pembantu kafe di Kampung Melayu Majidee selepas tamat SPM baru-baru ini.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk bekerja bagi mencari pendapatan selain belajar berdikari tanpa menyusahkan ahli keluarganya.
“Saya tengok bapa keluar pagi pulang malam untuk mencari rezeki, jadi saya mahu membantu keluarga. Saya tidak mahu membebankan mereka. Jika ada yang berehat selepas tamat SPM, saya pilih untuk bekerja.
“Seronok sebenarnya apabila bekerja sebab dapat belajar daripada rakan-rakan yang berpengalaman. Saya mahu kumpul duit untuk sambung belajar nanti,” katanya.
Menurut pelajar cemerlang Kolej Vokasional ERT Azizah itu, dia ditawarkan gaji RM1,800 termasuk kerja lebih masa.

SPM.
Seorang lagi remaja, Danny Asyraf Mohd. Zaki, 17, memilih bekerja dengan syarikat pengurusan acara untuk menimba pengalaman sepanjang cuti.
“Dunia sekarang memerlukan skil, jadi sementara menunggu keputusan SPM lebih baik cari pengalaman kerja. Selain belajar cara pengurusan masa, pekerjaan ini mendidik saya cara untuk berkomunikasi dengan orang ramai,” katanya.
Di Ipoh, lepasan SPM, Mohd. Nazirul Hisham, 17, dari Bercham tidak menunggu lama untuk merancang apabila memilih bekerja di kedai makan kerana enggan membuang masa di rumah.
“Kedai makan ini milik keluarga rakan saya, mereka menawarkan upah RM40 sehari. Bagi saya ia sudah mencukupi kerana tidak perlu lagi mengharapkan wang daripada ibu bapa.
“Lagipun saya sudah biasa membantu keluarga rakan di premis itu, jadi tidak janggal bekerja di situ,” kata anak sulung daripada dua beradik tersebut.
Mohd. Nahirul berkata, ibu bapanya yang merupakan penjawat awam tidak pernah menghalangnya untuk bekerja sambilan, malah memberikan nasihat tentang disiplin kerja.
Bagi Nur Farihah Mohd. Isa, 17, dari Kampung Gajah, Pasir Salak, dia memilih untuk bekerja dan ‘berguru’ dengan tukang jahit kerana mahu membantu bapanya menyara keluarga.
“Ayah bekerja sebagai pemotong rumput. Jadi kalau boleh saya mahu tampung sedikit bebannya. Saya mendapat upah RM800 sebulan, jadi boleh digunakan untuk menampung bil air dan elektrik,” katanya.
Anak keempat daripada lima adik-beradik itu berkata, abang dan kakaknya yang masih belajar turut melakukan perkara sama ketika bergelar lepasan SPM.
















