BUKIT KAYU HITAM – Puluhan ribu rakyat Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti di Hatyai, Thailand apabila destinasi pelancongan popular itu masih belum bersedia menerima kunjungan sepanjang musim cuti sekolah, Krismas dan sambutan tahun baharu ini.
Keadaan itu boleh dilihat daripada penurunan aliran pelancong di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis yang semalam dilaporkan luar biasa lengang.
Tiada lagi pemandangan orang ramai berpusu-pusu masuk dan beratur panjang di kompleks ICQS tersebut, mahupun kesesakan kenderaan menghala ke negara jiran.
Tinjauan Kosmo! di dua kompleks ICQS berkenaan pada pagi semalam juga mendapati tiada satu pun kelibat bas persiaran yang membawa pelancong ke sana.
Keadaan sepi itu berikutan ramai menangguhkan atau membatalkan rancangan mereka kerana Hatyai belum pulih sepenuhnya akibat banjir besar baru-baru ini.
Pemandu van shuttle ke sempadan Thailand, Jamil Majid, 52, berkata, aliran trafik menuju ke Thailand lancar dan tiada kesesakan seperti yang biasa berlaku pada musim cuti sekolah bersekali dengan sambutan Krismas.
“Kalau sebelum ini, seawal Khamis kawasan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam ini sudah sesak dengan kenderaan yang beratur panjang sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km), kali ini memang lengang dan sunyi.
“Memang jauh beza dengan suasana sebelum Hatyai kena banjir, bas dan van-van yang membawa pelancong juga sudah tidak ada. Sebelum ini pukul 5 pagi kita dah boleh nampak kenderaan beratur panjang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Katanya, sejumlah pelancong yang masuk ke Thailand kebanyakannya pergi ke Danok sahaja.
“Macam pagi ini, baru ada dalam tiga trip ke sempadan Thailand dan satu trip pun hanya dua hingga tiga penumpang dalam satu van ke Danok. Memang sangat kurang, sebelum ini kalau cuti sekolah memang tidak berhenti van ulang-alik hantar penumpang ke sempadan.
“Ada yang tanya kepada saya, okey ke jika nak ke Hatyai? Saya hanya tanya balik untuk apa ke sana sebab belum pulih. Nak ambil gambar pun keadaan tak elok seperti dulu. Kalau ada urusan kerja, tak apalah,” ujarnya.
Jelasnya, dia menjangkakan Hatyai mengambil masa enam bulan untuk kembali seperti sedia kala.
“Namun, saya berharap keadaan di sana cepat pulih kerana pengusaha pengangkutan di sini turut terkena tempias ekoran kekurangan penumpang sejak kejadian banjir di Hatyai,” tambahnya.
Sementara itu, seorang petugas di Kompleks ICQS Padang Besar, Ahmad Ali berkata, keadaan di situ juga tidak sesak seperti kebiasaannya ketika musim cuti sekolah.
“Biasanya akan berlaku kesesakan beratus meter dari pos imigresen sehingga melimpah keluar dari kawasan ICQS ketika menunggu giliran pemeriksaan dokumen,” katanya.
Seorang peniaga, Hasnah Ghazali, 54, pula berkata, orang ramai tidak ke Hatyai kerana kebanyakan destinasi popular di sana belum beroperasi sepenuhnya dan sedang menjalani proses pemulihan.
“Mungkin juga orang ramai bimbang akan berlaku lagi banjir besar kerana Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut mengeluarkan nasihat perjalanan selain pihak kaji cuaca Thailand mengeluarkan amaran hujan lebat,” katanya.
Kosmo! pada 14 September lalu melaporkan, sempadan Malaysia-Thailand mengalami kesesakan luar biasa apabila seramai 17,030 orang berpusu-pusu ke negara jiran sempena musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia. -KOSMO! ONLINE















