PEMERKASAAN literasi media digital dalam sektor pendidikan di negara ini menyaksikan perubahan positif apabila pelajar luar bandar juga berpeluang menyerlahkan kemampuan masing-masing di peringkat antarabangsa terutamanya dari segi penguasaan bahasa Inggeris.
Sejajar dengan hasrat itu, seramai 65 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalor iaitu sebuah sekolah luar bandar di Tampin, Negeri Sembilan telah berjaya menyertai Program Pertukaran Dalam Talian Malaysia-
Jepun yang dijalankan selama tiga hari pada 11, 12 dan 15 Disember lalu.
Tidak perlu ke Jepun, pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar sekolah menengah rendah dari negara matahari terbit berkenaan, sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta keyakinan diri mereka.
Menurut salah seorang pelajar, Ilham Rania Bahiyah Mohd. Rais, 14, program berkenaan sangat menarik dan bagus kerana dia bukan hanya berpeluang mempunyai rakan luar negara, bahkan membina keyakinan diri untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.
“Saya rasa sangat gembira sebab dapat berkomunikasi dengan pelajar dari Jepun. Mula-mula rasa malu sikit, tapi lepas tu jadi seronok. Saya rasa program ini sangat menarik dan bagus sebab dapat kenal kawan baharu dari negara lain.
“Program ini juga bantu saya tingkatkan keyakinan untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. Bila kita pandai bahasa Inggeris, senang nak faham orang luar negara dan berkomunikasi dengan mereka,” katanya.
Kongsi Ilham Rania lagi, bahasa Inggeris juga penting untuk dikuasai pelajar termasuk pelajar luar bandar dan sangat berguna untuk masa depan terutamanya untuk mencari kerja atau lanjutkan pelajaran.
Bagi seorang lagi pelajar, Siti Nur Elysa Ahmad Middarha, 14, dia sangat teruja terpilih menyertai program berkenaan kerana itu merupakan pengalaman pertamanya berkomunikasi dengan pelajar luar negara.
“Saya berasa sangat gembira dan teruja kerana ini kali pertama saya dapat berkomunikasi dengan pelajar dari negara lain menggunakan bahasa Inggeris.
Pada masa yang sama, saya juga berasa sedikit gementar tetapi menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

“Pada pendapat saya, program seperti ini sangat bagus kerana dapat memberi peluang kepada pelajar untuk berkenalan dengan rakan dari negara lain dan belajar tentang budaya mereka.
“Program ini juga membantu saya menjadi lebih yakin untuk bercakap dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Menurut Siti Nur Elysa lagi, semua pelajar perlu berusaha untuk menguasai bahasa Inggeris bukan hanya sebagai memudahkan komunikasi dengan individu dari pelbagai negara, bahkan penting untuk pembelajaran dan masa depan kerana banyak maklumat menggunakan bahasa Inggeris.
Sementara itu, Guru Bahasa Inggeris, M Thaanushah berkata, pelajar menunjukkan peningkatan ketara dalam keyakinan dan kemahiran berkomunikasi sepanjang program berlangsung.
“Mereka tampil lebih berani menyuarakan pendapat, bertanya soalan serta terlibat aktif dalam setiap sesi. Ramai pelajar menyatakan bahawa pengalaman ini memberi motivasi untuk terus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan memupuk minat terhadap peluang antarabangsa.
Malah menurut Thaanushah, program berkenaan juga mendapat sokongan penuh Pengetua SMK Bukit Jalor, Redzuan Shamsudin yang melihat program berkenaan sebagai medium penting untuk memperluas wawasan pelajar luar bandar dan memperkukuh potensi mereka di peringkat antarabangsa.
“Sebelum menyertai program ini, pelajar telah bersedia melalui latihan komunikasi serta belajar untuk memperkemas penyampaian bagi membolehkan mereka lebih bersedia dan yakin ketika berkongsi maklumat dengan rakan Jepun mereka.
“Sepanjang tiga hari program, pelajar Malaysia dan Jepun menjalankan pelbagai aktiviti seperti pembentangan berkumpulan, perbincangan isu semasa, sesi soal jawab dan permainan interaktif.
“Antara topik yang dibincangkan termasuk budaya tradisional, kehidupan remaja, makanan popular dan teknologi terkini di kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, Redzuan berharap program berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan diperluas kepada lebih ramai pelajar.
“Pengalaman antarabangsa sebegini merupakan satu pelaburan penting dalam membangunkan generasi muda yang berwawasan, berdaya saing dan mempunyai jati diri global.
“Program pertukaran ini terbukti membuka ruang kepada pelajar luar bandar untuk melangkah keluar dari zon selesa, membina rangkaian antarabangsa dan memahami dunia dari sudut yang lebih luas.
“Program ini turut menerima sokongan daripada Penolong Pengarah, Sektor Pembelajaran, Unit Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Ts. Dr. Farazawani Omar
Rakeb yang menghargai usaha sekolah dalam memperkasa penglibatan pelajar dalam kerjasama pendidikan antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau lagi, pendedahan global seumpama itu juga amat diperlukan bagi mempersiapkan pelajar menghadapi dunia tanpa sempadan.














