KUALA TERENGGANU – Demi kasih sayang, seorang gadis berusia 21 tahun sanggup mengorbankan sebahagian hati demi menyelamatkan nyawa adik bongsunya yang menderita penyakit Biliary Atresia (BA) sejak lahir.
Pembedahan pemindahan hati antara Nur Batrisya Edriana Muhammad Ridzuan dan Nur Aisyah Medina, 8, yang berasal dari Panji Alam di sini, selamat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Khamis lalu.
Sejak beberapa bulan lalu, tahap kesihatan Nur Aisyah Medina yang juga anak bongsu daripada lima beradik itu semakin merosot dengan hatinya mula gagal berfungsi.
Sekiranya pemindahan hati tidak segera dijalankan, keadaan kesihatan kanak-kanak itu akan menjadi lebih teruk.
Ibu saudara mereka, Shahirah Kadir, 31, berkata, Nur Aisyah Medina dilahirkan dengan penyakit BA iaitu saluran hempedu tersumbat sehingga menyebabkan hempedu terkumpul dalam hati, sekali gus merosakkan organ tersebut.
“Biarpun pernah menjalani pembedahan Kasai (mewujudkan semula aliran hempedu dari hati ke usus kecil) sewaktu berusia 54 hari selepas dilahirkan, namun ia gagal menyembuhkan Nur Aisyah Medina,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, Nur Batrisya Edriana yang juga pekerja premis barangan kesihatan dan farmasi yang tidak sampai hati apabila melihat penderitaan adiknya kesayangannya itu.
Katanya, anak saudaranya itu dengan ikhlas dan tekad mendermakan sebahagian hatinya yang menjadi penyambung nyawa Nur Aisyah Medina.
“Keyakinan Nur Batrisya Edriana yang merupakan anak kedua untuk membantu adiknya semakin kuat apabila ujian saringan melibatkan semua ahli keluarga mengesahkan dia yang paling sesuai menjadi penderma hati.
“Keikhlasan kakak (Nur Batrisya Edriana) membuatkan kami sekeluarga sebak dan terharu. Mereka kini berkongsi hati dan ia lambang kasih sayang berpanjangan.
“Alhamdulillah pembedahan pemindahan hati berjaya dan kedua-dua mereka kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaan mereka stabil,” katanya.
Ujarnya, Nur Batrisya Edriana dibawa keluar dari bilik pembedahan pada pukul 5 petang, Khamis lalu, manakala adiknya pula pada pukul 12.15 tengah malam kelmarin.
Dia berharap Nur Aisyah Medina yang akan dipantau di ICU PPUM dalam tempoh kira-kira dua minggu dapat membesar sebagai kanak-kanak sihat dan sentiasa mengenang pengorbanan kakaknya itu.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan kesejahteraan anak saudara saya selama ini.
“Kos pembedahan ini disumbang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebelum itu, ramai sudah menghulurkan derma menerusi tabung yang dibuka hasil inisiatif badan bukan kerajaan, Nadi Permata Malaysia,” katanya.
Biliary Atresia
Penyakit hati serius di mana saluran hempedu tersumbat atau rosak yang menghalang aliran hempedu dari hati
Mengakibatkan kerosakan hati berperingkat yang boleh membawa kepada kegagalan hati jika tidak dirawat segera
Dikaitkan dengan faktor seperti mutasi genetik, jangkitan virus atau bakteria, gangguan autoimun, kecacatan perkembangan hati serta saluran hempedu semasa dalam kandungan
Antara tanda ialah penyakit kuning berlarutan, najis pucat atau kelabu, air kencing gelap, perut atau hati membesar
Rawatan dengan kaedah pembedahan kasai untuk membuka laluan hempedu atau pemindahan hati














