fbpx
MADUEKE membuka tirai jaringan menerusi percubaan menarik ketika menewaskan Brugge awal pagi semalam. - AFP

Madueke mula tambat hati peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRUSSELS – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta teruja melihat prestasi memukau Noni Madueke selepas meledak dua gol untuk menutup mulut pengkritik ketika menewaskan Club Brugge 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Jan Bredel itu, penyudah berbisa Madueke dan satu lagi gol cantik yang disumbangkan Gabriel Martinelli memastikan Arsenal mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam enam perlawanan UCL.

Menariknya, kemenangan juga mengesahkan slot automatik Arsenal ke suku akhir tanpa perlu melalui pusingan playoff selain menyaksikan Martinelli muncul pemain pertama kelab itu yang menjaringkan gol dalam lima aksi UCL berturut-turut.

Menurut Arteta, prestasi ditampilkan Madueke ketika ini sudah cukup meyakinkan peminat Arsenal yang sebelum ini meragui kemampuannya selepas berhijrah daripada Chelsea pada jendela perpindahan lepas.

Namun, Arteta berharap Madueke dapat berikan aksi lebih konsisten jika mahu merampas posisi kesebelasan utama daripada penolong kapten, Bukayo Saka pada aksi akan datang.

“Madueke telah menjaringkan gol luar biasa dan apa yang dipamerkan seperti magis. Dia hebat dalam aksi individu untuk menggelecek lawan dan mempamerkan peningkat sejak beberapa perlawanan lepas.

“Cuma saya mahu dia kekal konsisten bukan sahaja cemerlang pada satu atau dua aksi, tetapi 10 perlawanan berturut-turut dan itulah cabaran sebenar buatnya,” katanya.

Sementara itu, Arteta turut gembira melihat Gabriel Jesus kembali beraksi selepas 332 hari tersisih akibat kecederaan lutut serius pada tahun lalu.

“Ini adalah perjalanan panjang buatnya kerana 11 bulan dia bergelut dengan kecederaan. Kalau kembali kepada prestasi lama, dia akan beri sesuatu yang berbeza untuk pasukan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN