JOHOR BAHRU – Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang mengambil tindakan segera menutup Jalan Terumtum 3 susulan kejadian tumpahan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini hari ini.
Komander Operasi BBP Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Iszahwati Supardi berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.12 pagi dan 17 anggota bersama sebuah jentera jenis FRT dikejarkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba, pihak kami mendapati berlaku tumpahan bahan kimia di kawasan sepanjang hampir 300 meter yang menjejaskan laluan perindustrian. Tindakan menutup kawasan sekitar tumpahan diambil bagi mengelak risiko kepada orang awam dan pekerja industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Iszahwati berkata, kerja-kerja pemantauan dan kawalan dilakukan bagi memastikan tiada ancaman lain yang boleh menyebabkan situasi bertambah buruk. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan keadaan terkawal.
Operasi di lokasi masih diteruskan bagi memastikan kawasan itu benar-benar selamat sebelum ia dibuka semula kepada pengguna. Setakat ini punca dan jenis bahan kimia masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE














