fbpx
SEBAHAGIAN peserta yang terlibat dalam Pameran Cat Air 2025 di Galeri Capital Fine Ar, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Usaha angkat karya cat air Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAMERAN Cat Air 2025 bukan sekadar sebuah perayaan seni yang menghimpunkan karya-karya terbaik medium cat air. Sebaliknya, ia turut membuka lembaran baharu dalam perkembangan seni halus Malaysia di pentas antarabangsa. 

Pada tahun ini, acara anjuran Persatuan Seni Cat Air Malaysia (MWS) itu dinaik taraf daripada pameran tahunan kepada sebuah festival bertaraf global, dengan penyertaan maestro dan pelukis profesional dari luar negara. 

Usaha itu mencerminkan iltizam MWS untuk menggalakkan pertukaran idea, teknik dan pengalaman antara pelukis tempatan dan antarabangsa, selain memperkenalkan keindahan seni cat air Malaysia kepada dunia.

Penganjuran edisi 2025 turut mendapat sokongan daripada Capital Fine Art selaku penaja venue rasmi. 

Menurut pengasas Capital Fine Art, Sharon Lok, galerinya menjadi ruang kepada pameran utama festival serta platform temu bual, demonstrasi dan perbincangan seni. 

“Dengan kehadiran maestro seni cat air antarabangsa dan penyertaan pengunjung yang sangat menggalakkan, pameran ini membuktikan potensinya untuk terus berkembang serta dianjurkan  lebih kerap pada masa hadapan. 

“Sambutan hangat daripada para seniman dan masyarakat umum menjadi bukti bahawa seni cat air mempunyai komuniti penggemar yang semakin kukuh,” katanya ketika Pameran Cat Air 2025 di Galeri Capital Fine Art, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

PADA tahun ini, acara anjuran MWS ini dinaik taraf daripada pameran tahunan kepada sebuah festival bertaraf global.

Tambahnya, Pameran Cat Air 2025 memberi tumpuan sepenuhnya terhadap cat air iaitu satu medium yang teknikal dan teliti, namun memiliki keindahan semula jadi. 

Setiap karya menampilkan kejernihan warna, sapuan spontan serta bersifat ketelusan yang unik dan tidak dapat diulang. 

Untuk makluman, pameran itu menghimpunkan pelbagai gaya, daripada realisme terperinci hingga ekspresif moden. 

Ini memperlihatkan keupayaan medium itu untuk menyampaikan mood, tekstur dan cahaya dengan begitu halus. 

Menurut Lok, karya cat air bukan sahaja sukar diperbetulkan apabila berlaku kesilapan, malah memerlukan kawalan air, pigmen dan masa tepat.

Ini menjadikannya cat air satu medium yang bernilai tinggi serta diminati pengumpul seni.

“Tahun ini, pameran mencatat penyertaan membanggakan dengan 126 karya daripada 106 artis dari 17 buah negara. 

“Keberagaman ini membolehkan pelawat melihat bagaimana medium cat air diterjemahkan melalui perspektif budaya berbeza, sekali gus memperkayakan pengalaman dan apresiasi seni,” ujarnya.

Kongsinya, sesi demonstrasi di Balai Seni Negara oleh beberapa pelukis cat air antarabangsa juga berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.

Sementara pada majlis pembukaan pameran di Capital Fine Art menyaksikan kehadiran sekitar 200 hingga 300 pengunjung, sekali gus menjadikan Pameran Cat Air 2025 antara yang paling meriah dalam sejarah penganjurannya.

Di sebalik kemeriahan itu, Pameran Cat Air 2025 turut menjadi platform untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pelukis, galeri dan pengumpul. 

ANTARa karya cat air yang dipamerkan pada pameran anjuran MWS itu.

Banyak perbincangan seni dan peluang kolaborasi masa depan muncul sepanjang festival berlangsung. 

Ujar Lok, situasi itu membuktikan bahawa Malaysia memiliki bakat seni luar biasa yang berpotensi besar, bukan sahaja dalam pasaran tempatan, malah di pentas global. 

“Dengan sokongan pengumpul yang semakin meningkat, seni cat air mampu berkembang sebagai industri seni halus yang kuat dan berpengaruh.

“Seni cat air telah lama menjadi medium kegemaran di Malaysia dan tidak seharusnya dipandang enteng,” kongsinya.

Katanya lagi, popularitinya yang universal dapat dilihat melalui pameran cat air di seluruh dunia, sekali gus membuktikan daya tarikannya melangkaui budaya dan sempadan. 

Keunikan cat air terletak pada kemampuan menangkap cahaya, nilai emosi dan sapuan yang asli. Ini menjadikan medium cat air sukar ditandingi oleh akrilik mahupun cat minyak.

Menerusi kejayaan besar penganjuran pada tahun ini, penganjur berharap agar lebih ramai pelukis tempatan menjadikan cat air sebagai medium utama, manakala pengumpul terus menyokongnya sebagai karya premium. 

Pameran Cat Air 2025 menjadi bukti bahawa Malaysia mampu muncul sebagai rujukan penting seni cat air di rantau ini. Usaha tersebut dapat membantu negara melakar masa depan yang gemilang untuk generasi pelukis akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN