fbpx
Ulat parkir telah bertapak sejak sekian lama untuk mengaut untung di ibu negara.

Bisnes apa saja di KL, semua jadi duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Satu kereta RM15 dan bayangkan berapa banyak kenderaan yang diletakkan di kawasan Bukit Bintang setiap hari?

Begitulah keuntungan dikaut oleh sindiket ulat parkir yang bermaharajalela bukan sahaja di Bukit Bintang, malah kawasan tumpuan lain di ibu negara.

Satu video perbalahan seorang pempengaruh media sosial dengan pekerja sindiket baru-baru ini bukan benda baharu.

Ulat parkir di ibu negara sudah lama bertapak. Apa yang menjadi persoalan, bagaimana puak-puak ini masih mampu mengutip wang daripada pengguna sedangkan kita mempunyai agensi penguat kuasa yang sepatutnya memerangi kegiatan haram mereka ini?

Sekiranya pengguna enggan membayar, pekerja sindiket menakut-nakutkan mangsa kononnya kereta akan dicalar, berisiko hilang atau tayar dipancitkan kerana tiada orang akan menjaganya.

Masalahnya, parkir di hospital, pejabat, pusat beli-belah atau di mana-mana sahaja yang tiada sindiket elok sahaja. Tiada pun kerosakan berlaku. Di sini kita boleh agak dan pastikan memang sindiket sengaja membuatkan pengguna cemas seterusnya memberi mereka RM15.

Senang-senang sahaja mereka ini mengaut keuntungan sedangkan ada beribu lagi rakyat Malaysia yang berdepan risiko keselamatan untuk mencari rezeki dengan menjadi rider, berulang-alik ke pejabat dan bekerja dalam sektor 3D.

Ada yang bersengkang mata untuk membuat jualan secara live di platform media sosial, melakukan dua pekerjaan, menjual barangan di Carousell atau melalui but kereta.

Pihak berkuasa jangan terlepas pandang isu ini. Perhatikan keadaan di sekeliling, baca komen netizen satu persatu supaya keadaan yang kurang menyenangkan ini diatasi dengan segera.

Daripada jenayah mengutip wang secara haram, sindiket ini boleh dikenakan tindakan melakukan ugutan jenayah selain membuat kerosakan kepada harta benda individu.

Silap-silap pekerja yang diupah tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan menjadi pendatang asing tanpa izin yang tinggal dengan aman di Malaysia.

Kerana isu itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berjaya menahan dan mendakwa dua ulat parkir baru-baru ini. Syabas kerana rakyat mahukan tindakan pantas dan tuntas.

Mereka yang didenda RM1,200 itu dikatakan menjaga kawasan panas parkir iaitu di Jalan Sultan Ismail, Lorong Pudu 14 dan Bukit Bintang.

Kita mengharapkan agar operasi seumpama itu dilakukan secara berterusan. Hapuskan rasa takut dan kurang selesa pengguna dengan kewujudan sindiket seperti ini.

Demikianlah Kuala Lumpur tempat orang mencari rezeki halal atau haram. Kota metropolitan yang tidak pernah tidur itu menjanjikan pulangan untuk apa juga perniagaan yang diusahakan.

Ia juga menjadi tajuk lagu yang paling banyak diciptakan oleh penulis lirik. Pandai bawa diri, Kuala Lumpur menjadi syurga tetapi jika sebaliknya, ia menjadi neraka dunia yang tidak ada penawar selepasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN