PETALING JAYA – Ramai warga emas mengeluh apabila polisi insurans perubatan yang dibeli sejak bertahun-tahun, tamat begitu sahaja apabila mencapai usia 70 tahun, sedangkan risiko penyakit meningkat selepas usia itu.
Terdapat syarikat insurans yang menawarkan polisi perlindungan melebihi usia 70 tahun, namun dengan pelan baharu dan premium yang jauh lebih mahal sehingga menyebabkan ramai warga emas tidak mampu.
Akibatnya, mereka kini terbeban dengan kos rawatan yang semakin tinggi, manakala mereka yang kurang berkemampuan pula terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan.
Seorang pesara kerajaan, Roslan Abd. Ghani, 72, berkata, dia terpaksa mendapatkan rawatan sepenuhnya di hospital kerajaan selepas polisi insurans yang diambil sejak zaman bekerja tamat secara automatik pada usia 70 tahun.
“Saya ada masalah jantung dan buah pinggang. Nak buat rawatan di hospital swasta, caj minimum RM600 untuk satu sesi pemeriksaan. Dengan pencen RM2,000, mana mampu.
“Sekarang ini kalau nak jumpa pakar di hospital kerajaan, janji temu paling cepat dua bulan. Jika ubat tak cukup, kena berjimat. Tiap kali sakit, hanya mampu tahan,” katanya kepada Kosmo!.
Latifah Din, 76, pula berkata, perlindungan insuransnya juga telah tamat dan dia yang mengalami masalah lutut kronik kini mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital kerajaan biarpun terpaksa menunggu lama.
“Duduk terlalu lama pun sakit tetapi nak buat macam mana? Klinik swasta minta RM180 untuk konsultasi doktor, belum kira ubat. Dahulu masa ada insurans, semua cepat. Sekarang bila perlukan rawatan, perlindungan insurans pula sudah tamat. Memang rasa seperti disisihkan,” katanya.
Seorang ibu tunggal, Hasimah Omar, 72, pula berkata, dia menyesal apabila membuat keputusan tidak menyambung pakej kad perubatan hingga usia 80 tahun.
Pesara swasta itu berkata, dia membayar kad perubatan itu sejak usianya 30-an ketika masih sihat, namun tidak melanjutkannya kerana tidak berkemampuan. Masalah timbul apabila Hasimah menghidap penyakit buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan dialisis berkala.
“Rawatan di pusat dialisis swasta memerlukan kos RM2,000 hingga RM4,000 setiap kali proses. Seminggu saya lakukan tiga kali. Tabung simpanan sudah separuh sudah dikorek, sekarang hanya harapkan bantuan kewangan anak-anak sebab tidak mampu lagi bekerja.
“Anak-anak sudah ada keluarga masing-masing, saya pun tak nak bebankan mereka. Kalau saya boleh ‘pergi’ dulu itu lebih baik,” katanya.
Seorang pesara syarikat korporat turut berdepan situasi sama apabila terpaksa berulang-alik ke hospital kerajaan setelah menghidap kanser pundi kencing dan perlu mendapatkan rawatan imunoterapi sejak tahun lalu
Wan Muhaimin Husin, 78, berkata, sebelum ini dia melanggan kad perubatan bernilai RM652 sebulan sebelum terpaksa menghentikannya apabila kos naik tiga kali ganda kepada RM1,800 sebulan.
“Sebelum ini memang tak ada sakit apa, tetapi apabila berhenti langgan kad perubatan Allah nak beri sakit, jadi tak boleh buat apa, terpaksa dapatkan rawatan di hospital kerajaan biarpun tempoh menunggu yang lama.
“Bukan tak nak sambung langgan tapi memang tak mampu, duit simpanan habis bayar insurans. Selama ini bayar bertahun-tahun seperti sia-sia. Apabila dah tua, dah sakit, perlindungan kesihatan pula tak ada,” katanya.
Sementara itu, perunding kewangan, Ahmad Zahir Zainuddin berkata, masalah itu bukan kes terpencil kerana premium insurans biasanya melonjak selepas umur 60 tahun, menyebabkan ramai pesara memilih untuk tidak meneruskan perlindungan.
Katanya, selepas umur 60 tahun, premium boleh meningkat antara 50 hingga 120 peratus bergantung kepada syarikat.
“Ramai pesara yang bergantung pada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau pencen bulanan kerana tidak mampu meneruskan perlindungan selain berharap sepenuhnya kepada sistem kesihatan awam yang semakin sesak.
“Warga emas adalah kumpulan paling memerlukan rawatan, namun mereka paling mudah kehilangan perlindungan. Lebih umur, lebih berisiko, maka syarikat insurans enggan menanggung liabiliti,” katanya.
Menurutnya, ia menyebabkan golongan warga emas paling berisiko menghadapi beban kewangan apabila jatuh sakit.
Katanya, pelanggan yang telah membayar premium bertahun-tahun lamanya turut berdepan situasi sukar apabila polisi tamat ketika mereka memasuki usia lebih tinggi.
“Apabila umur masuk 70 atau 75 tahun, banyak polisi kesihatan terus tamat secara automatik. Inilah masa mereka paling memerlukan perlindungan tapi polisi pula tidak lagi sah,” ujarnya.
Katanya, tanpa perlindungan insurans, kos rawatan untuk serangan jantung, strok, kanser atau kegagalan organ boleh mencecah ratusan
ribu ringgit.














