PETALING JAYA – “Doakan isteri syurga saya, Amira Othman.”
Demikian perkongsian pelakon, Fattah Amin yang memuat naik gambar katil hospital bersama kapsyen meminta orang ramai mendoakan insan kesayangannya itu.
Begitupun, pelakon filem Pendekar Awang itu tidak memperincikan kondisi sebenar penyanyi dan pelakon tersebut.
Foto berlatarkan rona hitam putih tersebut juga mengundang kebimbangan peminat yang masing-masing tertanya-tanya dan mengetahui perkembangan terkini Amira.
Menerusi semakan, hantaran yang dimuat naik dalam Insta Story itu dikongsikan sekitar tengah malam tadi.
Tinjauan di akaun Instagram penyanyi lagu Hati-Hati itu pula mendapati pasangan terbabit sempat menghadiri sebuah majlis sebelum itu.
Amira turut menunjukkan gambar tangannya yang memakai tiup drip ubat bersama keterangan ‘Esok kena fly (terbang). Semoga sempat sihat, Nadia Amira,” tulisnya.
Menurut sumber terdekat, difahamkan Amira mengalami demam yang sehingga terpaksa dirawat di hospital. Kali terakhir dia dimasukkan ke wad adalah pada Jun lalu berpunca daripada keracunan makanan.
Terdahulu, Fattah dan Amira bergelar suami isteri pada hari ulang tahun ke-35 aktor filem Kulit Wayang itu pada 14 September lalu. – KOSMO! ONLINE















