fbpx
TATKALA ditikam belati fitnah teman seperjuangan sendiri tanpa usul periksa, Harissa enggan membiarkan maruahnya tercalar dek pembohongan orang lain. Diamnya bukan kalah, dia melawan berpaksikan strategi.

‘Saya tak mudah terpesona dengan kemewahan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU lima tahun memasuki industri muzik dan lakonan tanah air, graf karier pucuk muda Harissa Adlynn terus mendaki puncak populariti.

Dalam diam, langkahnya semakin kukuh, menapak penuh disiplin hingga namanya mula meniti di bibir khalayak sebagai antara wajah selebriti generasi baharu paling bersinar.

Si kembang berusia 23 tahun itu kini menebarkan wangi menerusi deretan drama hit seperti Iskandar Chempaka, Kerana Seorang Lelaki dan Bad Ex Wife sekali gus mengangkat namanya sebagai pelapis berkaliber dalam industri.

Bukan semata-mata menjual rupa, Harissa membuktikan kehadirannya sarat dengan bakat dan komitmen. Setiap naskhah dijayakan digarap penuh jiwa, membuatkan penonton bukan sahaja melihat, tetapi merasai setiap emosi dipersembahkan.

Bersyukur dengan segala rezeki, dia tidak pernah menyangka kehadirannya diterima baik. Dalam setiap langkah, dia berjanji untuk terus memperbaiki diri, mematangkan lakonan serta menjaga nama baik sebagai anak seni.

Bagaimanapun, di sebalik senyuman manis terukir, terselit kisah duka yang jarang dikongsi. Saat membuka cerita, matanya berkaca, menahan emosi terpendam.

Kata pemilik nama sebenar Harissa Adlynn Abd. Halim, seiring populariti meningkat, muncul pula bayang-bayang hitam daripada insan disangka sahabat.

Foto IQBAL ROSLI Solekan ELMANDA ZUHAIRY Penata Gaya NANACHAH Busana VARIENTE

Dakwaan tidak berasas mula tersebar, kononnya dia bersikap terlalu ‘gedik’ dengan regu lakon, malah dituduh pernah meminta pihak produksi menasihati seorang pelakon lelaki kerana didakwa cuba menguratnya.

Lebih menyebalkan, individu si penyebar cerita tersebut merupakan orang dikenali dan pernah dianggap rakan baik.

“Sedih dan marah sebab saya tidak pernah melakukan perkara tersebut. Dalam bidang lakonan, imej sangat penting kerana selari dengan kerjaya. Jadi apabila saya dilihat buruk atas perkara tidak benar, itu sangat mengecewakan.

“Terkejut sangat sebab orang itu saya kenal. Setiap kali bertemu sesiapa, sama ada dalam atau luar industri, saya sentiasa berniat baik. Jika bekerja bersama, saya akan cuba bersikap sebaik mungkin. Pertama demi mewujudkan keserasian, kedua untuk memudahkan kerja.

“Saya bukan jenis suka mencari masalah atau bergaduh tetapi disebabkan seorang individu menyebarkan fitnah, saya sangat terkilan.

“Saya layan dia dengan baik, tidak pernah bercakap buruk, malah banyak membantu terutama dari segi kerja dan lakonan,” katanya kepada HibGlam.

HARISSA baru sahaja habis penggambaran filem dan kini sedang sibuk dengan penggambaran dua buah lagi drama serentak.

Serius

Kendatipun dihimpit seribu rasa, Harissa menegaskan keadilan perlu ditegakkan, malah hasrat itu tidak padam biarpun dia masih berdiam.

“Perkara ini sangat menjengkelkan. Bukan saya tidak mahu bertindak, cuma sekarang bukan masa sesuai. Saya sedang sibuk ‘shooting’ dan baru sahaja habis penggambaran filem.

“Saya tidak akan biarkan perkara ini berlalu begitu sahaja walaupun pernah melayan dia dengan baik. Saya akan ambil tindakan undang-undang supaya dia lebih berhati-hati.

“Jangan ulangi perkara sama kepada saya atau orang lain kerana setiap perbuatan pasti ada akibat,” ujarnya.

Paling penting kata anak jati Selangor itu, dia sudah pun mendapatkan nasihat guaman bagi mengatur langkah seterusnya.

“Sejujurnya, sebaik perkara ini berlaku, saya terus hubungi rakan yang juga seorang peguam untuk berbincang tentang tindakan undang-undang. Kami sudah berbincang, cuma langkah seterusnya memerlukan komitmen masa. Sekarang saya belum berkesempatan.

“Namun, jangan risau. Selepas penggambaran drama dan filem selesai, saya akan teruskan apa yang telah dirancang,” jelasnya penuh tekad.
Di sebalik ketegasan, wanita kecil molek itu tidak menafikan situasi tersebut sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada mental dan emosinya.

“Memang saya terkesan dari segi mental, cuma orang tidak nampak sebab saya hanya tunjuk apa yang perlu sahaja. Setiap kali hadir ke majlis, bertemu rakan industri atau berkongsi dalam media sosial, saya cuba elak perkara negatif.

“Saya hanya kongsi perkara perlu. Jika sedih atau marah, saya lebih selesa bercerita dengan keluarga dan kawan rapat.

“Saya tidak mahu kongsi dalam media sosial kerana keadaan akan jadi lebih rumit dan mengganggu perancangan saya untuk selesaikan isu ini secara matang.

“Saya mahu tunjukkan keseriusan keputusan saya. Jadi lebih baik saya ambil tindakan undang-undang supaya dia sedar betapa seriusnya isu ini dan kesannya terhadap saya,” luahnya.

MASIH muda dan ‘fresh’, Harissa mengakui tidak mudah termakan pujukan biarpun sering dihimpit golongan kenamaan yang menjanjikan kemewahan andai bersetuju menjadi teman hidup mereka.

Dihimpit VIP

Enggan terus terperangkap dalam pusaran isu sensasi, penulis sengaja mengalih arah perbualan kepada soalan santai berbaur usik-usik, menyentuh perihal hati si jelita itu sama ada sudah berpunya atau masih membuka ruang untuk sesiapa mengetuk pintu rasa.

Tersenyum manis, puteri tunggal kesayangan Ajaah Mohd. Radzi itu tidak menafikan dirinya sering didekati ramai lelaki, termasuk figura berstatus tinggi dan berpengaruh yang hadir dengan pelbagai tawaran mewah.

Bagaimanapun, di sebalik limpahan perhatian, dia kekal teguh berdiri atas prinsip sendiri dan memilih untuk tidak hanyut dalam permainan emosi dan kemewahan sementara.

“Jujurnya memang ada dan ramai. Sentiasa muncul yang tiba-tiba mahu mendekati, termasuk daripada golongan VIP, mereka yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan.Tetapi saya bukan jenis mudah terpesona dengan gelaran atau kemewahan.

“Kalau mahu mencari pasangan, saya mahukan seseorang yang stabil, berprinsip bukan hanya berseronok dan cuba ‘memancing’ dengan wang, itu langsung tidak memberi kesan kepada saya. Kita tidak boleh percaya sesiapa dengan mudah.

“Banyak kes kita dengar tentang pasangan dan pengkhianatan, saya enggan terlibat dalam sesuatu yang akhirnya menyakitkan. Bayangkan saya sudah sibuk dengan kerja, ditambah pula dengan masalah hubungan, itu sangat membebankan,” luahnya.

Tidak menolak takdir, namun buat masa ini, pelantun lagu Aku Sayang Kamu itu lebih selesa merancang masa depan dengan cara tersendiri selain enggan memandang kemewahan sebagai matlamat hidup.

“Saya lihat generasi sekarang terlalu mengejar gaya hidup dan kemewahan. Bagi saya, apabila kita terlalu mengejar semua itu, kita sebenarnya tidak akan pernah rasa cukup.

“Saya bersyukur kerana pernah merasai kehidupan sebegitu hasil didikan arwah abah dan mama. Jadi bila sudah merasa, saya tidak lagi rasa perlu mengejarnya.

“Kebahagiaan bagi saya datang daripada perkara sederhana, masa bersama keluarga, kenangan dan kepuasan dalam kerja. Itu lebih bermakna tapi bukan bermakna saya tidak suka duit. Semua orang perlukan duit dan saya juga bekerja keras untuk mendapatkannya,” tutupnya.

KECEWA dan tekilan, Harissa tertanya-tanya apakah motif seorang pelakon lelaki tergamak menyebarkan fitnah yang tidak betul mengenai dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN