NILAI pasaran skuad Harimau Malaysia pada jendela antarabangsa bulan ini menjunam lebih dua kali ganda tanpa kelibat tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan analisis Kosmo!, nilai pasaran pemain pada Jun lepas mencecah harga keseluruhan sekitar €15.25 juta (RM73.2 juta) tetapi kini hanya sekitar €7.28 juta (RMRM34.9 juta).
Jumlah tersebut adalah nilai pasaran keseluruhan 26 pemain yang terpilih ke sesi latihan pusat kebangsaan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski berdasarkan tanda harga diletakkan laman sukan antarabangsa, transfermarkt.com.
Angka tersebut menyaksikan skuad negara kini menjadi pasukan kedua termahal di rantau Asia Tenggara selepas Thailand yang memiliki nilai pasaran pemain sebanyak €8.4 juta (RM40.3 juta).
Vietnam yang berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 kali ini pula berada di kedudukan ketiga dengan nilai pasaran €5.75 juta (RM27.6 juta).
Skuad Indonesia yang sebelum ini memiliki nilai pasaran skuad kebangsaan paling tinggi di rantau ASEAN pula terpaksa dikecualikan kerana tidak memanggil sebarang pemain pada aksi antarabangsa bulan ini.
Bintang berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang mewakili kelab Cerezo Osaka hadir sebagai bintang termahal dalam skuad Harimau Malaya dengan nilai €1 juta (RM4.8 juta).
Arif Aiman Hanapi yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut adalah ‘anak tempatan termahal dengan tanda harga mencecah €650,000 (RM3.1 juta).
Sebagai rekod, ini adalah jendela antarabangsa kedua skuad negara tidak dapat menggunakan khidmat khidmat tujuh pemain warisan ‘gred A’ seperti Immanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.
Kesemua pemain terbabit digantung oleh FIFA selama 12 bulan sejak 25 September lepas susulan isu pemalsuan dokumen dan mereka dijangka melakukan rayuan terakhir di Mahkamah Timbang Tara (CAS).















