fbpx
PEMBINAANNYA berteraskan teknologi BIM.

True Digital Park ikon binaan pintar Bangkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha memperkukuh pembangunan bandar moden mampan dan berteknologi tinggi, Thailand optimis membangunkan bangunan pintar dengan rekaan lebih kontemporari dan futuristik.

Melalui integrasi teknologi dan seni bina kreatif, Thailand mewujudkan persekitaran pintar dengan ciri sistem pengurusan automatik, Internet of Things (IoT) serta tenaga lebih cekap menerusi bangunan True Digital Park.

Ia disifatkan sebagai antara bandar pintar sejati pertama di Thailand dan diuar-uarkan sebagai digital hab terbesar di Asia Tenggara.

True Digital Park direka dengan ekosistem ‘bandar pintar’ di bawah konsep ‘Satu Bumbung, Semua Kemungkinan’.

Terletak di kawasan Sukhumvit, Bangkok, projek tersebut menampilkan gabungan kediaman, ruang pejabat, pusat inovasi, kawasan runcit serta taman hijau.

Dibangunkan oleh Magnolia Quality Development Corporation (MQDC), kemunculan projek itu bukan sahaja memberi fokus kepada kelestarian alam sekitar tetapi turut mempengaruhi tenaga dan keselesaan komuniti.

Menurut Architect Magazine, projek True Digital Park bukanlah sekadar kompleks biasa, sebaliknya memfokuskan kepada binaan pintar yang memanfaatkan teknologi canggih seperti Building

Information Modeling (BIM) untuk meningkatkan kecekapan perancangan, pembinaan serta pengurusan bangunan.

“Misinya adalah untuk mengubah kawasan bandar seluar 6.8 hektar menjadi model bandar pintar dengan pembangunan guna campur digital bersepadu meliputi ruang komersial dan menara kediaman.

“Dengan meminimumkan impak alam sekitar, menjimatkan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, projek bernilai kira-kira 30 bilion Baht (RM3.9 bilion) direka bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti hidup tetapi juga pembangunan mampan komuniti,” katanya.

Teknologi BIM membolehkan arkitek, jurutera dan kontraktor bekerjasama dalam satu platform digital yang memaparkan model tiga dimensi bangunan secara terperinci.

Melalui sistem itu, setiap komponen struktur, mekanikal dan utiliti bangunan dapat dirancang dengan lebih teliti sebelum pembinaan sebenar bermula.

Pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kesilapan pembinaan, malah meningkatkan kecekapan penggunaan bahan dan masa.

Kata Presiden MQDC, Suttha Ruengchaipaiboon, perisian BIM adalah kunci untuk mencapai penanda aras LEED Gold (salah satu pengiktirafan bangunan hijau tertinggi di dunia).

“Kami perlu mengurangkan tenaga sebanyak 30 peratus dan penggunaan air sebanyak 40 peratus, justeru semua itu dilakukan dengan menganalisis reka bentuk melalui BIM untuk mengumpul dan mengguna semula air di tapak projek.

KONSEP biophilic diketengahkan agar memberi persekitaran udara semula jadi.

“Data projek yang dibina menggunakan BIM diserahkan kepada pentadbir bangunan yang membolehkan pengurusan fasiliti lebih berkesan berbanding kaedah tradisional.

“Menjadikan ia sebagai komuniti pintar, teknologi seperti BIM dan jubin lantai Pavegen (penjana tenaga langkah kaki) berfungsi bersama untuk manfaat orang ramai,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menyentuh mengenai Pavegen yang menjadi salah satu tarikan unik dalam projek itu, ia merupakan laluan pejalan kaki yang mampu menjana tenaga elektrik kerana dilengkapi teknologi khas menukar tenaga kinetik daripada langkah manusia kepada kuasa elektrik.

Setiap langkah pejalan kaki akan menghasilkan sedikit tenaga yang kemudian dikumpulkan dan disalurkan ke dalam sistem tenaga bangunan.

Memetik EduCard, jubin Pavegen dipasang di laluan pejalan kaki (Whizdom Track) yang akan menggerakkan generator elektromagnetik setiap langkah menekan.

Setiap langkah menekan jubin ke bawah sekitar 5 milimeter (mm) ke 10mm akan menghasilkan tenaga elektrik yang digunakan untuk menyalakan lampu LED di laluan tersebut dan mengecas peranti mudah alih.

Penggunaan teknologi Pavegen merupakan sebahagian konsep inovasi kelestarian yang dipromosikan oleh MQDC.

“Walaupun jumlah tenaga yang dihasilkan bagi setiap langkah adalah kecil, penggunaan teknologi ini secara berterusan oleh ribuan pengguna mampu menyumbang kepada bekalan tenaga tambahan untuk kawasan itu.

“Inovasi laluan menjana tenaga ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi bandar pintar, malah berfungsi sebagai simbol kesedaran terhadap kepentingan tenaga lestari.

“Ia juga memberi peluang kepada orang ramai untuk secara tidak langsung menyumbang kepada penjanaan tenaga bersih hanya melalui aktiviti harian seperti berjalan kaki,” jelas portal tersebut.

Pendekatan itu menunjukkan bagaimana teknologi boleh digabungkan dengan gaya hidup masyarakat bagi menyokong usaha mengurangkan penggunaan tenaga konvensional.

Rekaan binaan True Digital Park juga menggunakan pendekatan biophilic (rekaan berasaskan alam semula jadi) dan kejuruteraan pintar untuk menurunkan suhu kawasan sekitar secara semula jadi.

Terdapat empat elemen utama rekaan tersebut iaitu koridor angin, kawasan hijau (sky park), fasad bangunan penangkis haba (high-performance facade) dan sistem penyejukan berpusat.

Susunan binaan True Digital Park tidak dibina secara rapat atau menghalang angin dengan ciri koridor yang luas sekali gus membolehkan angin semula jadi mengalir ke tengah-tengah kompleks.

Projek kawasan hijau terbuka sekitar 20,000 meter persegi di atas bumbung dan teres pelbagai aras bangunan pula bertindak sebagai penyerapan haba matahari melalui proses penyejatan semula jadi (evapotranspiration) yang membantu merendahkan suhu sekitar dua hingga tiga Celsius.

Sementara itu, dinding dan cermin bangunannya direka secara teknologi tinggi atau menggunakan cermin Low-E iaitu kaca khas yang memantulkan sinar inframerah (haba) tetapi masih membenarkan cahaya masuk.

True Digital Park turut menempatkan ruang inovasi dan pusat pembelajaran.

Kehadiran pusat inovasi itu menjadikan True Digital Park bukan sekadar kawasan kediaman moden tetapi juga ekosistem yang menyokong pembangunan teknologi dan ekonomi digital.

Seni bina bangunan mencerminkan bagaimana teknologi moden boleh digabungkan dengan seni bina kreatif serta prinsip kelestarian untuk membentuk komuniti masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN