Saban tahun, setiap kali tiba bulan Ramadan, pasti ada banyak konten media sosial hasil pempengaruh terkenal dinanti-nanti ramai.
Ketika ramai tergila-gila dengan konten ‘30 Hari 30 Resipi’ Khairul Aming, terselit beberapa pempengaruh bukan Islam yang ‘berjuang’ pada bulan Ramadan seperti umat Islam lain.
Majoritinya mahu merasai momen berpuasa seharian menahan lapar dan dahaga sefta keseronokan ke bazar Ramadan.
Namun, di sebalik keseronokan mereka menghasilkan konten tentang bulan puasa, tetap wujud golongan yang membenci selain menyoal tindakan sekumpulan orang yang mempertikai konten sebegitu.
Kata mereka, mana-mana individu yang melakukan perkara sama seolah-olah menunggang agama Islam dan bulan Ramadan semata-mata untuk meraih tanda suka serta jumlah tontonan tinggi.
Bukan itu sahaja, mempersenda agama dan merosakkan imej bulan Ramadan antara tuduhan lain yang dilemparkan netizen.
Jika diteliti satu per satu, hakikatnya mereka yang menghasilkan konten tentang Ramadan dan turut berpuasa penuh perlu diberikan pujian tinggi kerana tanpa sedar menyebarkan mengenai Ramadan dalam media sosial.
Bagi pendakwah bebas Amin Idris, setiap kandungan berkaitan Ramadan yang dikongsi individu bukan beragama Islam tidak melanggar sebarang hukum.
“Tak salah mereka nak berpuasa di bulan Ramadan selagi tidak menghina agama Islam. Kita tak boleh baca niat orang, tetapi diterjemah dalam bentuk perbuatan.
“Selagi perkara yang mereka buat tidak ada elemen ataupun unsur-unsur yang menghina Islam, tak ada masalah.
“Bahkan, perkara tersebut menjadi satu dakwah di mana mereka merasai sendiri keindahan ibadah dalam Islam yang salah satunya berpuasa pada bulan Ramadan,” katanya.
Ujar Amin, tiada halangan untuk mana-mana individu termasuk bukan Islam menyebarkan apa sahaja cerita mengenai Ramadan dan berpuasa kepada umum.
“Golongan bukan Islam berpuasa bukan baru kerana mereka melihat keindahan dan kehebatan bulan Ramadan.
“Sama ada mereka masuk Islam ataupun tidak, mereka beriman kepada Allah ataupun tidak, itu bukan urusan kita. Tetapi itu adalah urusan Allah SWT.
“Kuasa hidayah adalah kuasa Tuhan, jangan kita buat kerja Allah. Tugas kita adalah tunjukkan akhlak yang baik, apatah lagi hasil didikan Ramadan.
“Jangan pula orang Islam yang mengata, memperlekehkan kebaikan dan menghina kebaikan mereka lakukan sebaliknya tunjuk akhlak mulia. Sebab akhirnya, dia bukan mendekatkan orang itu kepada Islam, bahkan menjauhkan mereka,” jelasnya.
Katanya, semua orang bebas memuat naik konten mengenai pengalaman berpuasa dalam media sosial selagi tidak memburuk-burukkan agama Islam itu sendiri.
“Kalau mereka memeluk Islam, itu bonus tetapi jika sebaliknya, tak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka suka kepada agama Islam, mereka tidak berburuk sangka, salah faham dan tak bermusuh dengan Islam.
“Lebih indah, perpaduan di dalam negara kita menjadi lebih erat kerana kita semua saling harmoni dan memahami agama antara satu sama lain,” ujarnya.
















