fbpx
Karya wau cengal oleh Allahyarham Wan Su Othman (kiri) dan ukiran kontemporari bunga orkid oleh Abdul Muhaimin antara yang dipamerkan (kanan).

Legasi 8 adiguru ukiran kayu Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENI ukiran Melayu merupakan salah satu warisan budaya yang menonjol dalam khazanah seni tradisional Malaysia.

Ia bukan sekadar elemen hiasan, tetapi juga memuatkan nilai estetika, simbolik dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu sejak berabad-abad lamanya.

Dari motif flora dan fauna, corak geometri, hingga kaligrafi Islam, setiap ukiran membawa cerita dan makna tersendiri, mencerminkan identiti dan kreativiti pengukirnya.

Baru-baru ini, orang awam berpeluang menelusuri keindahan seni ini melalui Pameran Nuansa Ukiran Kayu Melayu 2.0: Legasi Adiguru di Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

Pameran ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Desa Ukiran Kayu, Balai Seni WanPo, Akademi Nik Rashiddin, Seni Ukir Bakawali, Pakatan Juru Ukir Tradisional, Inakraf Woodcarving, Muzium Seni Asia, Kraftangan Malaysia dan Institut Kraf Negara.

Pameran ini menampilkan keajaiban seni ukiran kayu melalui karya tokoh-tokoh besar ukiran Melayu seperti Allahyarham Wan Su Othman, Allahyarham Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Abdul Latif Che Long, Allahyarham Abd Rahman Long, Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok, Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein, Allahyarham Norhaiza Noordin dan Abdul Muhaimin Hasbolla.

Menariknya, ini merupakan kali pertama pameran yang mengumpulkan karya lapan adiguru ini diadakan, kerana sebelum ini amat sukar untuk menghimpunkan semua hasil seni mereka dalam satu pameran.

Hampir kesemua mereka sudah meninggal dunia.

MOHAMAD ANIS (kanan) dan Pensyarah Kanan APM, Dr. Mohammad Nazri Ahmad antara tulang belakang pameran.

Kurator muzium berkenaan, Mohammad Anis Abdul Samad, 49, berkata, ukiran kayu tradisional Melayu bukan sekadar hiasan dinding, tetapi menyerap falsafah kehidupan iaitu keseimbangan ruang serta hubungan manusia dengan alam sekeliling.

“Secara visual, motif ukiran kayu tradisional Melayu biasanya bersumber daripada satu punca, berkembang menjadi corak seperti benih, bunga, sulur atau awan larat.

“Visual tersebut ialah gambaran keperibadian Melayu yang meletakkan setiap insan bersaudara dan berasal daripada zat Allah,” katanya kepada CitaRasa.

Sedikit pengetahuan, Allahyarham Wan Su Othman merupakan pengukir kayu tradisional terkenal dari Pantai Timur yang mahir menghasilkan ukiran pintu, panel, hiasan istana serta motif bunga dan daun yang halus.

Anak beliau, Allahyarham Wan Mustafa Wan Su atau dikenali sebagai WanPo meneruskan warisan seni ukiran kayu tradisional dengan menghasilkan karya bersaiz besar dan turut mengurus bengkel ukiran kayu.

Selain mereka, Allahyarham Abdul Latif Che Long merupakan pengukir juga dari Pantai Timur yang mahir dalam ukiran hiasan besar seperti mimbar masjid, rumah tradisional dan panel untuk bangunan.

Seterusnya, Allahyarham A. Rahman Long terkenal dengan ukiran rumah, panel dan barangan hiasan kayu berskala besar untuk istana serta bangunan kerajaan, manakala Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok mengkhusus dalam ukiran halus pada senjata tradisional seperti hulu keris dan golok.

Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein pula dikenali sebagai pengukir kayu tradisional dan pengumpul artifak yang menghasilkan panel ukiran Melayu warisan.

Di samping itu, Allahyarham Norhaiza Noordin, generasi baru pengukir kayu menggabungkan teknik tradisional dengan gaya moden dan menghasilkan panel untuk pejabat, istana serta pasaran eksport.

Akhir sekali, Abdul Muhaimin Hasbollah mahir dalam corak bunga dan tumbuh-tumbuhan yang rumit, membuka bengkel sendiri di Inakraf Wood Carving dan diiktiraf sebagai adiguru dalam seni ukiran Melayu.

Tambah Mohammad Anis, pihak muzium memilih untuk mengetengahkan karya kontemporari Abdul Muhaimin berbanding karya tradisionalnya kerana mahu memberikan perbandingan antara seni tradisional dan moden.

“Tokoh ukiran kontemporari tidak terikat pada aturan tradisi seperti awal, punca dan akhir seperti yang wajib dipatuhi seni tradisional.

“Seni kontemporari ini membolehkan peniruan rupa alam dilakukan dengan lebih bebas, namun tetap memerlukan kemahiran yang tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN