PUTRAJAYA – Jumlah individu yang meminjam along termasuk daripada kumpulan T20 dan pekerja profesional menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus setiap tahun.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Perunding Unit Banteras Along, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardhu Ain DM, Adam Mustapa berkata, proses pinjaman yang mudah kerana hanya memerlukan MyKad berbanding pinjaman di bank menyebabkan along menjadi pilihan golongan ‘terdesak’ mendapatkan wang segera.
“Berdasarkan rekod kami, pada tahun lalu, mangsa along sekitar 22,000 orang, namun ketika ini jumlah dilihat terus meningkat dengan purata hampir 50 peratus setiap tahun.
“Biasanya, orang terdesak tidak fikir panjang, kalau memohon di bank, prosesnya lama. Jika meminjam dengan along, dalam lima minit sahaja sudah diluluskan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.
Adam berkata, sebanyak 80 peratus daripada peminjam gagal membayar pinjaman mengikut jadual pembayaran dengan keadaan mereka juga menjadi lebih kritikal apabila faedah ditetapkan lebih tinggi, seterusnya memberi tekanan emosi kepada peminjam.
“Sebagai contoh, jika seseorang meminjam sebanyak RM1,000, mereka hanya menerima sekitar RM600 sahaja. Mereka juga diberikan tempoh contohnya, empat hari untuk membayar ‘bunga’ dengan jumlah RM1,000. Jika gagal, nilainya terus bertambah.
“Jadi, daripada pinjaman RM1,000 sahaja, nilainya boleh mencecah kepada ribuan ringgit jika gagal bayar dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, kegagalan peminjam membayar pinjaman menyebabkan along akan bertindak lebih ganas dengan ‘mengejar’ mereka dan membuat pelbagai ugutan termasuk melakukan jenayah.
Selain itu katanya, along sanggup memalukan mangsa di laman media sosial dengan membuat pelbagai suntingan gambar membabitkan peminjam termasuk menganggu majikan, keluarga dan rakan terdekat.
“Disebabkan ketika membuat pinjaman, along mempunyai MyKad peminjam, mereka juga akan membuat pinjaman tambahan menggunakan identiti mangsa.
“Inilah antara ketakutan yang menghantui mangsa dengan rata-ratanya akan mengalami depresi teruk termasuk perceraian, maruah tergadai dan harta benda musnah,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan golongan T20 dan pekerja profesional antara paling ramai meminjam along.
















