ADAM (kanan) dan Omar mendedahkan ada golongan T20 yang membuat pinjaman along mencecah RM7 juta. – FARIZ RUSADIO

T20, Tan Sri dan Datuk Seri ramai pinjam along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Golongan T20 dan pekerja profesional menja­di­ antara individu paling ramai membuat pinjaman dengan along, sekali gus mendedahkan rea­liti sebenar kehidupan kumpulan itu di sebalik gaya hidup mewah yang dipamerkan.

Lebih mengejutkan apabila ada dalam kalangan peminjam ter­sebut terdiri daripada individu bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.

Mendedahkan perkara itu, Ke­tua Perunding Unit Banteras Ah long, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardhu Ain DM, Adam Mustapa berkata, mereka ini merupakan sebahagian daripada 80,000 mangsa along yang kini berada dalam radar pihaknya.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 50 peratus atau sekitar 40,000 adalah berstatus T20 dan pekerja profesional seperti arkitek, jurutera, pegawai bank selain personaliti televisyen.

“Setakat ini, lebih 80,000 mang­sa along dikesan pihak kami di seluruh negara dengan melibatkan jumlah pinjaman melebihi RM260 juta setakat ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Adam yang turut mempunyai pengalaman selama hampir 20 tahun sebagai ‘pengutip hutang’ berkata, keinginan mengekalkan gaya hidup mewah meskipun berdepan masalah kewangan kritikal menjadi antara faktor golongan itu terjebak pinjaman ah long.

“Biasanya, golongan tersebut biasa hidup mewah, jadi bila ada masalah kewangan, mereka sanggup pinjam along semata-mata mahu tunjukkan kepada keluarga dan kawan yang mereka masih mempunyai duit.

“Selain itu, antara faktor lain yang menyebabkan kumpulan T20 dan pekerja profesional meminjam along termasuklah gagal dalam pelaburan selain terjebak judi online, tekanan hidup serta berdepan krisis kewangan,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman menguruskan mangsa along T20, Adam berkata, kumpulan itu biasanya membuat pinjaman dengan angka tinggi di mana ada yang mencecah jutaan ringgit.

“Saya pernah menguruskan kes seorang individu T20 membuat pinjaman mencecah RM7 juta, paling rendah pula biasanya golongan itu meminjam sekitar RM1 juta.

“Berdasarkan pengiraan, jika mereka meminjam RM7 juta, secara kasarnya individu itu perlu membayar sehingga RM21 juta, ia hampir tiga kali ganda daripada jumlah pinjaman,” katanya.

Katanya lagi, golongan itu juga kerap menggunakan alasan menguruskan perniagaan dan modal forex untuk membuat pinjaman dan mereka akan melunaskan semua hutang bagi mengelak identiti didedahkan.

“Kumpulan itu biasanya akan bayar pinjaman mereka secara berperingkat. Jika tidak mampu bayaran penuh, mereka akan bayar faedah dahulu, namun jumlah pinjaman itu akan jadi lebih tinggi.

“Mereka terpaksa mencari jalan untuk membayar pinjaman kerana bimbang identiti didedahkan, sekali gus mampu mencalarkan imej sebagai golongan T20,” katanya.

Sementara itu, aktivis Unit Banteras Ahlong, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardhu Ain DM, Omar Rosali berkata, kesukaran membuat pinjaman bank untuk memulakan projek perniagaan juga menjadi antara alasan T20 meminjam along.

Katanya, rekod kurang baik golongan itu membuatkan mereka memilih membuat pinjaman dengan along yang berselindung di sebalik perniagaan tertentu bagi mengaburi peminjam.

“Modus operandinya begini, kadang-kadang golongan T20 ini, rekod mereka tidak bersih (untuk buat pinjaman), tapi mereka ada kenalan daripada golongan korporat untuk buat pinjaman.

“Bagaimanapun, golongan korporat yang berselindung dengan entiti syarikat atau badan bukan kerajaan ini sebenarnya along, modus operandi mereka cari peminjam dalam kelompok T20,” katanya.

Jelas Omar, kebiasaannya pinjaman yang dibuat itu adalah untuk dijadikan modal bagi memulakan tender projek yang diperoleh daripada pihak ter­tentu termasuk kerajaan.

“Jadi, mereka akan pinjam dengan syarat-syarat tertentu untuk memulakan projek yang dimenangi.

“Along juga akan berpakaian kemas untuk mempamerkan diri sebagai kumpulan profesional, seterusnya mengaburi mata peminjam.

“Kita pernah kutip hutang ­daripada golongan itu sekitar RM2.5 juta hingga RM3.5 juta. Mereka ini tidak main angka ratusan ribu ringgit, semua pinjaman mencapai nilai jutaan ringgit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN