PERNAH dilabel ‘surat khabar lama’ menjadi antara faktor utama kejayaan Emma Firyana Saroji menjuarai edisi pertama Piala Dunia Boling Padang 2025, minggu lalu.
Pencapaian itu membolehkan Emma kembali merampas status sebagai ratu boling padang Malaysia, gelaran pernah dipegangnya sebelum ini sekali gus membuktikan umur 39 tahun hanyalah angka buat dirinya.
Di sebalik kejayaan terbaharu, mungkin ramai tidak sedar 10 tahun lalu Emma pernah bergelar juara dunia sebelum namanya tersisih daripada skuad kebangsaan selama dua tahun sejak 2022.
Kejayaan Emma menjuarai Kejohanan Juara Perseorangan Antara Juara Dunia 2015 di Brisbane, Australia menjadikannya atlet boling padang wanita kedua Malaysia selepas Nor Iryani Azmi pada edisi Christchurch 2005 di New Zealand.
Secara keseluruhan, atlet dari Selangor ini menjadi pemain boling padang ketiga negara menempa kejayaan hebat itu selepas Muhammad Hizlee Abdul Rais menjuarai perseorangan lelaki di Paphos, Cyprus pada 2012.
Dan sehingga hari ini masih tiada lagi mana-mana pemain lelaki ataupun wanita dapat mengulangi kejayaan menjuarai kejohanan itu yang diibaratkan sebagai Sukan Olimpik bagi acara perseorangan sukan boling padang.
Disebabkan itu Emma menjadi antara sandaran terbaik negara setiap kali boling padang dipertandingkan di Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Sukan Komanwel.
Semuanya berubah selepas dia bersama Siti Zalina Ahmad gagal mempertahankan emas acara pairs dimenangi mereka pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, apabila terlepas menaiki podium untuk meraih tempat keempat di Birmingham 2022.
Biarpun tersisih, Emma tidak pernah berputus asa, apatah lagi terlintas untuk mengundurkan diri, sebaliknya terus berusaha dengan satu matlamat iaitu menjadi pemain terbaik negara.
Akhirnya, peluang yang dinanti-nantikan itu tiba dan Emma membuktikan bisanya masih belum hilang apabila meraih pingat gangsa Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2025 di Aberdeen, Scotland.
Pengalaman dan ketenangannya sekali lagi menuai hasil lumayan apabila menakluk Piala Dunia dengan cara penuh dramatik menewaskan juara dalam dewan dunia tujuh kali dari England, Katherine Rednall di pentas final.
Walaupun pernah dianggap tidak relevan, tetapi semangat tidak mudah menyerah kalah untuk berusaha meningkatkan diri wajar menjadi contoh kepada atlet yang mungkin ketika ini berada ‘di titik terendah’ dalam karier.
Kejayaan itu menyaksikan Emma yang kini di ranking 12 dunia, pastinya bakal menjadi pertaruhan utama kontinjen negara pada Sukan Komanwel Glasgow tahun depan.
Sebenarnya, Emma bukanlah satu-satunya contoh kejayaan kebangkitan seseorang atlet kerana ramai yang pernah berdepan situasi sama tetapi berbeza lapangan seperti legenda lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei.
Hup Wei daripada juara Asia, pemegang rekod kebangsaan, beraksi di Olimpik, kemudian ‘hilang’ bertahun-tahun lamanya sebelum menutup karier sebagai atlet pertama dalam sejarah negara di pentas final Kejohanan Dunia. -KOSMO! ONLINE














