SHAH ALAM – Upah lumayan sehingga RM10,000 bagi satu perjalanan ke Eropah menjadi umpan sindiket dadah antarabangsa dalam merekrut individu sebagai ‘keldai dadah’ menerusi pelbagai taktik licik termasuk janji pekerjaan, percutian percuma dan cinta palsu.
Sindiket dikesan menyasarkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun, selain warga emas yang dianggap tidak mencurigakan untuk dijadikan pembawa dadah ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati ganjaran yang ditawarkan bergantung kepada jenis dadah dan tahap risiko laluan digunakan.
Katanya, bagi laluan dalam negara ke Sabah dan Sarawak, sindiket biasanya menawarkan antara RM500 hingga RM700 bagi setiap kilogram (kg) dadah dibawa.
“Sindiket turut membayar sekitar RM2,000 hingga RM2,500 bagi satu perjalanan, bergantung kepada jumlah dadah serta kawalan di pintu masuk.
“Bagi laluan antarabangsa berisiko sederhana seperti Taiwan, China, Korea dan Jepun, upah mencecah sekitar RM5,000 bagi setiap perjalanan.
“Manakala ke destinasi Eropah, bayaran antara RM2,000 hingga RM10,000 satu perjalanan walaupun hukuman di negara-negara tersebut jauh lebih berat,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, struktur bayaran itu menunjukkan bagaimana sindiket memanipulasi mangsa dengan tawaran lumayan tanpa memikirkan risiko besar yang akhirnya ditanggung oleh individu tersebut.
Hussein menambah, selain wang tunai, sindiket turut menjanjikan pelbagai imbuhan lain seperti percutian percuma, tiket penerbangan ditaja, telefon serta gajet berjenama.
“Malah ada yang diperdaya melalui cinta palsu (love scam) apabila dipujuk membawa bagasi atau pakej tertentu kononnya milik pasangan cinta palsu mereka,” katanya.
Jelasnya, sindiket memilih individu yang mudah dipengaruhi, tidak mencetuskan syak wasangka dan terdesak dari segi kewangan sebagai sasaran utama.
“Golongan pelajar institusi pengajian tinggi, pekerja gig seperti e-hailing, penganggur, pekerja sektor pelancongan serta individu tertekan kewangan antara yang kerap terjerat.
“Lelaki dan wanita dieksploitasi, namun trend terkini menunjukkan sindiket semakin licik memperdaya mangsa melalui platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook,” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa berpendidikan pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga diploma, namun terdapat juga graduan yang terperangkap melalui tawaran kerja palsu.
“Jenis dadah paling kerap dibawa ialah syabu diikuti heroin, ketamin dan kokain,” katanya.















