SEJAK berusia 15 tahun lagi dia sudah berminat menanam tanaman hias di halaman rumah dengan membeli benih pokok yang ada nilai dan diminati ramai.
Pada awalnya, hobi Muhamad Mukhriz Hakim Mohd. Sham berfokus kepada usaha mengumpul benih-benih pokok untuk dijadikan baka dan akhirnya menjurus kepada penyediaan rumah hijau untuk menyimpan koleksi pokok.
Mukhriz, 21, menanam tanamannya di Kampung Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan. Pokok-pokok yang ditanamnya jenis yang bernilai tinggi.
Katanya yang juga penuntut jurusan Bioteknologi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, hobi bermula enam tahun lalu itu juga berbaloi apabila berjaya menjana pendapatan sampingan.
“Sebelum ini, saya meneroka ilmu menanam pokok dan penggunaan media tanaman dalam internet. Kini, saya manfaatkan bidang Sains Gunaan Biologi yang dipelajari untuk penanaman.
“Tanaman yang saya tanam tidak menggunakan tanah sebaliknya media khas untuk kesuburan pokok keluarga Aroid seperti Philodenron, Monstera dan lain-lain,” katanya ketika ditemui K-Remaja di Kampung Tanjung Chat.
Tambah Mukhriz, menanam tanaman hias berasaskan corak daun, tekstur dan rupa bentuk yang unik juga kini menjadi ‘kegilaan’ ramai dan nilai harganya tinggi.
Katanya, peminat tanaman ini sanggup berbelanja besar semata-mata untuk memiliki sebahagian pokok ‘rare’ dalam ranking utama dunia.
“Philodendron adalah genus besar dalam tumbuhan Aroid dengan 500 varieti, kian menjadi rebutan selain genus Monstera dan Anthurium yang terkenal masa kini.
“Itu yang membuatkan saya ‘gila’ mengumpul pokok sebegini. Pokok ini sangat jarang ditemui memiliki daun besar, tekstur yang tebal, (gabungan) warna yang unik serta berkilat,” katanya.

Mukhriz berkata tanaman ini berasal dari hutan hujan tropika di Brazil, Argentina, Bolivia dan Paraguay, sebab itu kebanyakan varietinya agak mencanak harganya berbanding pokok hiasan tempatan.
“Sepanjang di kampus, pokok saya di kampung dijaga oleh ibu dan adik-adik. Atas meja belajar di bilik saya pun masih ada pokok yang ditanam untuk melepaskan kerinduan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.
Kongsinya, antara spesies Philodendron paling mahal ialah Philodendron angela, Philodendron billietiae, Philodendron golden dragon albo, Philodendron pink princess marble galaxy king dan lain-lain.
Mukhriz berkata, Philodendron florida beauty pada 2020, satu helai daunnya cecah RM1,000 ke atas dan pada 2024 harga sehelai daunnya jatuh RM35 apabila berlaku lambakan anak benih.
Menurutnya, terdapat tanaman cecah ribuan ringgit bersandarkan bilangan daun dan serlahan aneka ragam (variegated).
“Hasil pendapatan jualan sepanjang cuti semester adalah tabungan bagi wang saku untuk saya belajar di universiti tanpa perlu menyusahkan ibu bapa,” katanya.
Terkini, Mukhriz berjaya membina sebuah rumah hijau dengan membelanjakan RM2,500 hasil jualan pokok dalam usaha membesarkan ruang bagi pokok baharu.
Rumah hijau tersebut dibina sendiri bapanya, Mohd. Sham Yusuf, 41, lengkap dengan lampu solar yang mampu menempatkan lebih 500 anak pokok semaian merangkumi spesies Anthurium, Monstera, Philodendron dan Homalomena.
















