SEJAK kebelakangan ini, media sosial kembali kecoh dengan pelbagai dakwaan tidak berasas berhubung suntikan imunisasi, khususnya vaksin Anti Tetanus Toxoid (ATT) yang diberikan kepada wanita hamil.
Antara dakwaan yang tular ialah kononnya vaksin ATT boleh menyebabkan kegemukan dalam kalangan wanita kerana ia diberikan setiap kali mengandung.
Vaksin ATT diberikan sekurang-kurangnya dua kali semasa kehamilan dan diulang pada setiap kehamilan untuk memastikan tahap antibodi ibu sentiasa mencukupi bagi melindungi bayi yang bakal dilahirkan.
Berita palsu itu mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan kepada ibu-ibu mengandung yang sepatutnya mendapatkan perlindungan kesihatan untuk diri dan bayi dalam kandungan.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Amirul Amzar, kenyataan tersebut adalah mitos dan tidak mempunyai asas saintifik.
Malah, beliau menyifatkan dakwaan itu lahir daripada kejahilan dan salah faham terhadap fungsi sebenar imunisasi dalam melindungi ibu dan bayi daripada jangkitan berbahaya.
Dr. Amirul berkata setiap suntikan imunisasi, termasuk ATT, berfungsi memperkenalkan antigen kepada tubuh manusia.
“Antigen ialah komponen kuman atau kuman yang telah dilemahkan yang bertindak sebagai ‘latihan’ untuk sistem imun badan mengenal pasti dan melawan jangkitan sebenar di masa hadapan.
“Apabila kita menerima vaksin, badan akan bertindak balas dengan menghasilkan antibodi. Ia seolah-olah kita memperkenalkan mini infection yang tidak berbahaya supaya badan bersedia sekiranya terdedah kepada jangkitan sebenar,” katanya.
Tambah beliau, bagi kes suntikan ATT, pemberiannya bukan semata-mata untuk melindungi si ibu, tetapi yang lebih utama adalah melindungi bayi dalam kandungan.
“Ini kerana apabila antibodi dihasilkan dalam tubuh ibu, antibodi itu akan dipindahkan melalui uri kepada bayi, sekaligus memberi imuniti pasif kepada bayi selepas lahir,” ujarnya.
Menurut Dr. Amirul lagi, bayi yang baru lahir mempunyai luka kecil di bahagian tali pusat dan keadaan itu menjadikan mereka mudah terdedah kepada bakteria Clostridium tetani, penyebab penyakit kancing gigi (tetanus).
“Apabila ibu telah menerima suntikan ATT semasa hamil, antibodi yang terhasil dalam badan ibu akan membantu melindungi bayi daripada jangkitan tetanus yang boleh membawa maut.
“Maka, pemberian vaksin ATT kepada ibu mengandung adalah satu langkah penting untuk menyelamatkan nyawa bayi,” jelas beliau lagi.
Beliau menegaskan bahawa imunisasi ini tidak menyebabkan kesan sampingan seperti kegemukan, seperti yang didakwa oleh segelintir pihak di media sosial.
“Suntikan vaksin tidak mengandungi hormon atau bahan yang boleh mengubah metabolisme badan. Ia juga tidak memberi kesan kepada berat badan. Tubuh akan clear komponen vaksin selepas sistem imun selesai bertindak.
“Kalau benar vaksin boleh menyebabkan gemuk kerana ia mencetuskan mini infection, sepatutnya orang yang kerap batuk atau selesema juga menjadi gemuk. Tapi kita semua tahu itu tidak berlaku,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, peningkatan berat badan lazimnya berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat, gaya hidup sedentari serta pengambilan makanan diproses secara berlebihan.
“Ironinya, yang menyebarkan berita kononnya vaksin ATT sebabkan kegemukan adalah penjual makanan segera. Jadi, siapa sebenarnya yang buat orang gemuk?” katanya.
Dr. Amirul turut memberi peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam menilai maklumat palsu.














