KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Malaysia menerima pemulangan tambahan dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah lebih RM1 bilion.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pemulihan dana 1MDB terus giat dijalankan khususnya di luar negara.
“1MDB pada peringkat akhir, masih ada kemasukan (pemulangan Dana) baru-baru ini. Saya tak dapat teka berapa jumlahnya, tetapi mencecah RM1 bilion tambahan.
“Proses diteruskan di Switzerland, London dan ada jawatankuasa dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) berhubung dana 1MDB yang sudah dikembalikan dan dimasukkan ke dalam akaun pemulihan aset negara.
Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada sindiket dan aktiviti penyeludupan lain termasuk berkaitan komunikasi, e-kewangan, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud serta ‘love scam’
Menurut beliau, penguakuasaan bagi menangani ketirisan, rasuah dan sindiket jenayah telah dipertingkatkan sejak dua tahun lalu melalui sinergi pelbagai agensi berkaitan.
Kata beliau, penguatkuasaan yang tegas dan berani menyaksikan hasil rampasan RM15.5 bilion yang merupakan pencapaian paling efektif dan berkesan dalam sejarah.
“Saya belum pernah lihat (rampasan) penyeludupan dan lain-lain hingga cecah RM15.5 bilion. Penghargaan tinggi kepada badan terlibat,” katanya.
Jelas beliau, lebih 20 kes telah didakwa dan masih dalam proses mahkamah, namun perkara itu akan mengambil masa untuk diselesaikan.
“Fasa pertama kita sita dan rampas, fasa kedua disiapkan kertas pendakwaan dan akan diputuskan Peguam Negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














