PETALING JAYA – Satu hantaran tular di media sosial mencetuskan rasa sayu orang ramai apabila seorang doktor dilihat tetap bertugas merawat pesakit walaupun dirinya tidak sihat dan terpaksa memakai jarum di tangan.
Luahan doktor yang dikenali sebagai @DrOmprakash di Thread menarik perhatian ramai apabila beliau menggambarkan situasi sebenar di klinik pakar yang kini kekurangan tenaga kerja secara kritikal.
“Klinik pakar pun tak cukup pakar. MO (pegawai perubatan) pun banyak berhenti. Staf jururawat pun berhenti. Jangan marah dan amuk bila jumpa doktor lambat.
“Yang mana tinggal ni pun dah cukup penat dan depres. Beban kerja teruk. Tak rehat, makan laju. Solat pun terkejar-kejar. Tunggu masa nak rujuk kaunseling je,” tulisnya.
Dalam gambar yang dimuat naik, kelihatan doktor berkenaan masih tetap bekerja walaupun difahamkan berada dalam keadaan tidak sihat kerana memakai jarum branula di tangan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati bukan doktor itu sahaja, malah beberapa jururawat lain juga berkongsikan gambar memakai jarum branula ketika sedang bekerja disebabkan berada dalam keadaan tidak sihat.
Hantaran itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai, yang rata-rata meluahkan simpati dan rasa kagum terhadap semangat petugas kesihatan di negara ini.
Ada juga yang menyeru masyarakat agar lebih memahami keadaan petugas kesihatan dan tidak bertindak melulu apabila berhadapan dengan kelewatan rawatan.
“Sedih tengok keadaan macam ni. Doktor pun manusia, ada had tenaga. Tapi masih teruskan demi pesakit,” tulis Aimi.
“Jangan marah bila doktor lambat panggil. Kadang-kadang mereka pun tengah tahan sakit atau tak sempat makan. Hargai pengorbanan mereka,” ujar Hakimi. – KOSMO! ONLINE














