PETALING JAYA – Dunia media sosial kini seolah-olah menjadi ‘klinik’ rahsia kepada mereka yang mahu mencari penyelesaian segera tanpa kehadiran doktor termasuk dalam kes menggugurkan kandungan.
Modus operandinya sangat ringkas, iaitu wanita yang terdesak dan takut hanya perlu mencari peniaga di media sosial untuk mendapatkan pelbagai jenis pil gugur yang dijual tanpa kawalan.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, pil-pil tersebut dijual dengan cara mesra pengguna, iaitu menampilkan nama-nama ringkas seperti ‘Baby Toys’, ‘Ubat Miso’ dan ‘MM Kit’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Harga ubat ni bergantung pada usia kandungan, biasanya antara RM50 sampai RM600. Lagi besar usia kandungan, lagi tinggi harganya.
“Ubat ini jenis Mifepristone dan Misoprostol, memang ramai pelanggan sudah berjaya gugurkan kandungan guna set ni, termasuk yang usia kandungan lebih 36 minggu,” dakwa seorang wanita yang menawarkan pil pengguguran ini di Johor Bahru, Johor.
Hakikatnya, pengambilan ubat tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Kementerian Kesihatan (KKM) ini menimbulkan kebimbangan apabila ramai membelinya tanpa usul periksa.
Berdasarkan tinjauan, jualan pil tersebut mampu mencecah sehingga 600 pembelian di platform beli-belah online dengan rata-rata peniaga hanya menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium untuk mempromosikan pil berkenaan.
Difahamkan, proses pembelian dan pembayaran dilakukan melalui perbincangan WhatsApp bagi mengelak akaun media sosial disekat KKM kerana penjualan ubat tidak sah.
Wartawan Kosmo! Ahad turut mendapatkan respon peniaga pil gugur yang berkongsi semua ulasan daripada pelanggan kepada pembeli baharu yang berminat membeli ubat berkenaan.
Ketika dihubungi, peniaga pil meyakinkan pelanggan baharu termasuk dengan perkongsian gambar kandungan sebagai bukti keberkesanan ubat terlarang itu.
“Ubat ‘Miso’ ini dari India. Memang terbukti berkesan dengan cepat selepas pengambilan dan selamat digunakan.
“Satu pek memang ada lima biji pil termasuk satu Mifton dan empat Miso. Cara pengambilan, kebiasaannya perlu tunggu kesan pil pertama sebelum teruskan dengan yang lain.
“Selepas makan ubat Miso, kebanyakan pengguna akan rasa mual, demam, cirit-birit dan senggugut. Kebiasaannya janin akan keluar dan diikuti pendarahan selepas itu,” dakwa seorang individu yang menjual ubat ‘Miso’ dalam talian.
Situasi itu secara tidak langsung menambah keyakinan pembeli terhadap keberkesanan pil gugur tersebut dan menjadi antara punca peningkatan pembelian ubat haram itu dalam talian.
Bagaimanapun, peniaga hanya berkongsi tangkap layar kesan sampingan dan tujuan pengambilan pil menggunakan ChatGPT.
“Segala arahan dan proses perlu dikongsi kepada anda untuk kami bimbing proses pengguguran dengan ‘sempurna’ dan berkesan sepenuhnya tanpa membawa kesan sampingan pada kemudian hari,” tambah penjual itu.
Katanya lagi, tiada keperluan untuk ke hospital bagi ‘cuci rahim’ atau mendapatkan rawatan lanjut, dan wanita boleh hamil semula sebaiknya tiga bulan selepas proses pengguguran.
Sementara itu, terdapat peniaga pil gugur turut menggunakan rakaman video jururawat demi meyakinkan pembeli bahawa kewujudan akaun itu tidak perlu diragukan selepas menggunakan identiti individu lain.
Hakikatnya, pengambilan ubat berisiko seperti pil gugur ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membawa maut jika diambil tanpa pengawasan pakar perubatan.















