fbpx
ECA bercerai dengan suaminya disebabkan tidak tahan dengan sikap pengotor lelaki itu yang malas mandi dan tidak pernah membersihkan diri sebelum bersamanya.- Gambar hiasan

Nasib bertemu jodoh dengan duda malas mandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI seorang wanita, Eca (bukan nama sebenar) sememangnya mempunyai keinginan untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki.

Namun disebabkan sifatnya yang pemalu, dia sukar untuk berbuat demikian.

“Saya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki, sama ada ketika di alam persekolahan atau menuntut di universiti.

“Saya mempunyai keinginan tersebut (bercinta) tetapi saya malu memulakan langkah untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Begitu juga setelah masuk ke alam pekerjaan, tiada lelaki yang mengambil langkah untuk berkenalan dengan Eca lebih rapat.

Apabila usia Eca menghampiri 30-an, keluarganya mula mendesak supaya dia mencari jodoh dan berkahwin.

“Saya kemudian menggunakan platform portal mencari jodoh untuk mencuba nasib.

“Menerusi portal ini, saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia juga mempunyai matlamat yang sama iaitu mencari jodoh,” jelasnya.

Setelah hampir tiga bulan berkenalan dan berkomunikasi melalui telefon, Eca memberanikan diri untuk bertemu dengan pemuda tersebut.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk berkahwin setelah mengenal hati budi masing-masing.

Selepas enam bulan berkenalan antara satu sama lain, mereka memilih melangsungkan perkahwinan.

Eca menjelaskan, suaminya itu berstatus duda sebelum mereka berkahwin.

“Saya tidak kisah dengan statusnya, saya nampak kesungguhan dia untuk berkahwin dengan saya.

“Saya menerimanya dengan sepenuh hati kerana sudah mula sayang kepadanya,” terangnya.

Setelah berkahwin, suaminya berpindah ke rumah Eca untuk tinggal bersama.

Sebelum berkahwin, Eca telah membeli sebuah kediaman sendiri memandangkan dia juga memiliki kerjaya yang stabil.

“Suami saya sebelum ini hanya menyewa bilik setelah dia berpisah dengan isterinya.

“Saya tidak memberitahu suami bahawa saya sudah membeli rumah itu.

“Saya hanya memaklumkan rumah itu saya sewa. Jadi, suami berjanji untuk berkongsi membayar sewa bulanan,” terangnya.

Setelah berkahwin, Eca berasa sangat bahagia kerana mempunyai seseorang untuk berkongsi hidup.

Namun begitu, perkahwinan yang dianggap indah itu tidak berjalan seperti diharapkan.

Dua bulan selepas berkahwin, Eca baru sedar perangai sebenar suaminya.

“Sebelum ini, suami saya menyatakan bahawa dia bekerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur sebagai kerani.

“Sebenarnya, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja sebagai penghantar makanan,” jelasnya.

Eca kecewa kerana suaminya tidak berlaku jujur sebelum mereka berkahwin.

Demi suami tercinta, Eca membeli sebuah kereta bagi memboleh suaminya menjadi pemandu e-hailing, sekali gus menjana pendapatan yang lebih baik.

Namun, suaminya tidak bersungguh-sungguh untuk bekerja, sebaliknya dia kerap menghabiskan masa tidur di rumah.

“Saya boleh katakan, suami saya ini tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Dia culas memberi nafkah zahir dan saya yang banyak menanggung hidupnya,” katanya.

Selain itu, apa yang membuatkan Eca tidak tahan dengan perkahwinan tersebut adalah sikap pengotor suaminya.

“Suami saya ini malas mandi. Jika tidak keluar memandu e-hailing dan hanya berada di rumah seharian, dia tidak akan mandi.

“Dia langsung tidak menjaga kebersihan diri dan badan sering berbau.

“Malah, dia juga langsung tidak membersihkan diri ketika ingin bersama.

“Ketika bersama, saya jadi tidak tahan dengan bau badannya.

“Namun sebagai seorang isteri, saya perlu melayaninya sebagai suami,” ujarnya.

Ada ketikanya, Eca mengambil keputusan untuk tidur di bilik tetamu kerana tidak tahan dengan bau suaminya itu.

Begitu juga ketika di tandas, selepas membuang air besar atau kencing, suaminya tidak tahu untuk flush air.

Eca ada meminta suaminya meninggalkan sikap pengotor itu dan menjadi seorang yang pembersih.

Namun, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, segala nasihat yang diberikan Eca langsung tidak diambil peduli suaminya. Entah-entah disebabkan sikap begitu jugalah suaminya bercerai sebelum ini.

Setelah setahun berkahwin, suaminya langsung tidak berubah dan dia masih dengan sikap yang sama. Disebabkan itu, Eca mula tawar hati dengan sikap suaminya.

Setelah berfikir panjang, Eca mengambil keputusan untuk berpisah secara baik dengan suaminya.

Namun pada mulanya, suaminya tidak mahu melepaskan Eca kerana sudah selesa hidup ditanggung.

Bagaimanapun, Eca nekad dengan keputusannya, sebelum akhirnya mereka sah berpisah di salah sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN