fbpx
JIKA ditunggu umur 65 tahun baru boleh keluarkan wang KWSP mungkin pencarum sudah tidak sihat dan terlantar di katil.

Lama sangat nak tunggu 65 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tersenyum manis Mus ketika diraikan dalam satu majlis sambutan hari lahirnya yang ke-55 bersama anak-anak dan menantu di sebuah restoran.

Majlis serba ringkas tetapi cukup bermakna itu meninggalkan kesan mendalam buat Mus kerana usia, tenaga dan kudratnya kini tidak segagah dulu tetapi dia mahu terus sihat untuk bekerja dan juga beribadat malah mahu melihat keceriaan itu terus dimanfaat untuk tempoh yang lebih panjang sebelum berakhir hayatnya.

Dia kini seorang pekerja kontrak di sebuah syarikat swasta yang pernah mengalami fasa penutupan sebuah hotel di sebuah daerah di negeri Selangor sehingga terpaksa menganggur beberapa bulan sebelum diterima bekerja dengan majikan sedia adanya.

Sehari selepas majlis meraikan hari lahirnya, destinasi utama yang ditujunya adalah di pejabat KWSP untuk membuat pengeluaran wang daripada akaun satu yang dinantinya selama ini.

Itu adalah saat kegembiraan dan kepuasannya untuk merasai duit simpanan sendiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak mula bekerja pada usia 21 tahun dan ketika ditemui dalam satu sesi minum petang yang pastinya dibelanja oleh ‘birthday boy’ itu, dia memaklumkan sudah menempah sebuah motosikal baharu.

Pembayaran secara tunai yang melibatkan kos sekitar RM25,000 itu membolehkan Mus bebas mengikuti konvoi bermotosikal bersama rakan-rakan sebayanya bercuti di luar Lembah Klang malah mahu melewati hingga ke sempadan Thailand tidak lama lagi.

Pada usia 55 tahun itu, badannya masih kuat lagi untuk menunggang motosikal yang diidaminya sejak muda lagi tanpa memikirkan tentang komitmen bulanan.

Dia yang bebas daripada hutang utama seperti rumah dan kereta yang sudah lama dilangsaikan juga kini cukup bahagia dengan kehidupan sehariannya meskipun simpanan dalam KWSP tidak sampai RM300,000.

Hidup secara bersederhana di sebuah rumah pangsa yang padat dengan memori bersama arwah isterinya itu membuatkan Mus tidak mahu menunggu lama sehingga 65 tahun seperti yang dicadangkan untuk membuat pengeluaran wang KWSP.

Dia bukan seorang pegawai berjawatan tinggi yang duduk di atas sofa empuk di pejabat berhawa dingin tetapi Mus adalah pekerja yang membanting tulang empat keratnya dalam bidang pembersihan yang memaksa beliau perlu sentiasa sihat.

Baginya, angka 55 tahun adalah umur yang cukup ideal untuk seorang ahli KWSP memanfaatkan duit simpanan dengan cara tersendiri, malah sudah cukup matang untuk menguruskan sendiri tabung perbelanjaan masing-masing.

Jika ditunggu pada umur 65 tahun, mungkin Mus sudah tidak sihat, tidak aktif dalam pergerakannya malah terpaksa bertongkat dan tidak dapat menunggang motosikal idamannya apatah lagi mahu memandu kenderaan.

Biarlah mereka menikmati dan memanfaatkan duit simpanan masing-masing pada umur 55 tahun dan bagi mereka yang masih terus mahu menyimpan, teruskan hasrat murni tersebut.

Segalanya terletak pada diri sendiri untuk menguruskan kewangan secara berhemah, tidak kira sikit atau besar nilainya, ia terletak pada disiplin yang ketat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN