KARYA berjudul Babah arahan sutradara Mohd. Shah Faizul diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini.
Kemenangan tersebut memang selayaknya milik Babah yang barangkali tidak begitu unggul dari sudut komersial sewaktu ditayangkan di pawagam Disember 2024, namun berhasil luar biasa pada acara berprestij yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur.
Selain Filem Terbaik, Babah turut mencipta kemanisan berganda apabila dua pelakon utamanya iaitu Qi Razali dan Sweet Qismina masing-masing dinamakan Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.
Babah yang mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan, dan harapan turut membawa pulang tiga trofi lain iaitu Pengarah Harapan, Cerita Asal dan Lakon Layar Terbaik.
Sebagai antara pengamal media yang cakna akan kelestarian industri perfileman negara, kemenangan bergaya Babah di FFM34 membuktikan satu perkara bahawasanya industri tidak pernah menganaktirikan naskhah berstatus indie.
Kalau memang sudah hadir dengan kualiti luar biasa, hatta hanya mengutip kutipan panggung hanya RM7.09 juta, ia memang selayaknya diangkat sebagai yang terbaik.
Barangkali ada yang menangkis pendapat, Babah bukan sebuah filem indie. Buat penulis, ia dibangunkan cukup rasa oleh produksi berbajet kecil dengan impian cukup besar sekali gus memaknai erti membikin filem sebenar.
“Sejak hari pertama membikin Babah, tak pernah terdetik pun akan pakai sut ambil hadiah untuk Filem Terbaik.
“Saya percaya (kemenangan ini) adalah kerjasama semua orang yang bertungkus-lumus untuk menghasilkan Babah,” kata Mohd. Shah.
Penulis juga senada dengan kebanyakan netizen. Kemenangan Babah akan lebih bermakna andai disusuli dengan lagu temanya, Rahsia Tuhan sebagai Lagu Tema Terbaik.
Masalahnya di sini, Rahsia Tuhan tidak langsung tercalon dalam kategori Lagu Tema Terbaik.
Sama ada memang pasukan Noh Salleh individu yang merupakan komposer mahakarya terbabit tidak ‘submit’ penyertaan atau penganjur terlepas pandang kemenjadian lagu terbabit sebagai sebuah karya yang mengiringi perjalanan filem.
Bukan satu kelompongan besar tetapi umpama filem A Star Is Born bertanding ke Oscar tanpa kelibat atau penglibatan lagu Shallow yang bertindak sebagai runut bunyi filem ikonik terbabit Itulah umpamanya Babah tanpa Rahsia Tuhan nukilan Noh Salleh.
Bukan menidakkan kemenangan Bara Jiwa yang merupakan runut filem Blood Brothers: Bara Naga, namun perkara sebegini tidak seharusnya berlaku di mana-mana majlis berprestij seperti FFM.
Kalau Rahsia Tuhan dicalonkan dan tewas, itu tidak mengapa. Ini tidak langsung dicalonkan melainkan lagu terbabit bukan berstatus lagu tema kepada filem Babah.
Setakat pengamatan penulis yang berkunjung ke tayangan perdana filem Babah tahun lalu, Rahsia Tuhan antara perihal yang membekas dalam fikiran sebagai lagu tema karya berkenaan.
Hal sekecil-kecil perkara ini kadangkala merunsingkan tapi, tepuk dada, tanyalah selera. Sebagai pemerhati, penulis berpendapat, jika betul sejarah ingin dilipat kemas, ia harus bersifat inklusif memandang serius keterlibatan semua yang menyumbang.
Apapun, majulah filem untuk negara. Teruslah berdaya saing sehingga industri ini diangkat sebagai penyumbang ekonomi tanah air yang tercinta.















