TAHUN 2025 menyaksikan satu lagi langkah besar Chery Malaysia ke arah elektrifikasi automotif menerusi pelancaran Chery Tiggo 7 plug-in-hibrid (PHEV) pada awal Oktober lalu.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam segmen C itu dilengkapi dengan teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang menawarkan gabungan kecekapan, prestasi serta ciri keselamatan yang lebih menyeluruh.
Tiggo 7 baharu bukan sekadar membawa reka bentuk moden dan gaya premium tetapi dengan teknologi PHEV yang mampu menandingi jenama automotif pesaing dari Jepun dan Eropah.
Dihasilkan berasaskan DNA kejuruteraan Tiggo yang kukuh, varian CSH ini tampil sebagai sebuah SUV keluarga yang sempurna dengan prestasi pengendalian menakjubkan.
Sasaran pengguna bagi model ini adalah pemandu urban yang mahukan SUV bergaya dengan penjimatan karbon dan teknologi hijau bagi kenderaan kegunaan harian tanpa berkompromi terhadap jarak jauh dan keselesaan keluarga.
Dari segi kuasa, Chery Tiggo 7 PHEV dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo empat silinder (TGDi) dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) menjana kuasa 143PS dan tork 215Nm.
Apabila digandingkan dengan motor elektrik berprestasi tinggi, jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 279PS dan tork tertinggi 365Nm dengan kelajuan maksimum 180km/j.
Teknologi elektrifikasi Chery Tiggo PHEV ini menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.3kWh yang membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya (mod EV) sejauh kira-kira 90km cukup untuk kegunaan harian di bandar tanpa petrol.
Apabila digabungkan dengan petrol, SUV ini dikatakan mampu mencapai jarak keseluruhan sehingga 1,200km bagi satu tangki penuh berkapasiti 60 liter.
Untuk pengecasan, bateri ini menyokong pengecasan pantas (DC) yang mampu mengecas dari 30 ke 80 peratus dalam masa 19 minit, manakala pengecasan arus ulang alik (AC) dalam tempoh tiga jam untuk penuh.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh Chery Malaysia untuk memandu Tiggo 7 PHEV CSH 2025 di Litar Antarabangsa Sepang bagi menguji prestasi kenderaan ini di trek ujian bagi aspek pengendalian dan zon kick plate untuk menilai kawalan ketika kehilangan cengkaman mendadak.
Sebaik pedal ditekan, Tiggo 7 PHEV CSH ini menyerlah dengan kuasa segera yang diberikan, malah transisi antara mod elektrik dan petrol terasa lembut hampir tanpa sebarang gegaran menunjukkan tahap penalaan sistem hibrid Chery yang matang.
Ketika memasuki selekoh pertama di trek ujian, SUV ini terasa stabil dan seimbang dengan dimensi kenderaannya yang berukuran 4,553mm panjang, 1,862mm lebar dan 1,693mm tinggi serta jarak antara roda 2,670mm.
Sistem suspensi jenis MacPherson Strut di hadapan dan Multi-Link di belakang berjaya mengekalkan cengkaman baik tanpa olengan badan berlebihan.
Penulis yang memandu dalam mod Sport berasakan tindak balas kuasa enjin lebih agresif dan motor elektrik memberikan tork segera yang cukup membantu jentera ini memecut laju.
Malah, kuasa gabungan petrol dan elektrik terasa linear walaupun sistemnya beroperasi secara hibrid dan kadar kesenyapan kabin (NVH) amat baik, tiada bunyi luar yang menganggu.
Bahagian paling mencabar bagi penulis adalah ketika melalui zon kick plate yang mensimulasikan situasi kehilangan kawalan kenderaan secara tiba-tiba di atas permukaan licin apabila plat hidraulik digerakkan.
Tinggo 7 PHEV CSH menunjukkan kawalan yang cukup baik. SUV ini menggunakan Electronic Stability Control (ESC) yang bertindak pantas menstabilkan kenderaan.
Dalam dua kali percubaan, penulis mampu mengawal SUV ini hanya dengan pelarasan stereng ringan walaupun berat SUV ini 1,795kg.
Sistem brek terasa responsif dan mudah dikawal dengan gabungan brek regeneratif dan hadraulik yang berfungsi secara semula jadi diperkemaskan dengan tayar 18 inci yang turut memberi cengkaman baik.
Menyentuh reka bentuk luaran, Tiggo 7 terbaharu 2025 ini tampil dengan rupa lebih berani dan matang dengan gril utama berbentuk berlian.
Ia menerima kemas kini lampu utama LED berbentuk trapezoid yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk ‘double L’ atau rekaan khas yang memberi identiti visual moden.
Di belakang pula, SUV ini mengekalkan pendekatan moden dengan palang lampu belakang penuh memberi kesan lebar.
Rupanya lebih menyerlah dengan rel bumbung serta bumbung panaromik yang menambahkan gaya bagi SUV keluarga ini.
Pilihan warna menarik yang ditawarkan ialah Bloodstone Red dengan bumbung hitam, Khaki White dan Phantom Grey.
Meninjau ke ruangan kabin, model ini nampak premium dengan kelas tersendiri iaitu kerusi ergonomik bagi keselesaan pemanduan dan keluarga untuk perjalanan jarak jauh atau harian.
Tempat duduknya juga mempunyai fungsi ventilasi dan ruang kaki yang luas untuk penumpang belakang.
Kabin Tiggo 7 PHEV CSH ini direka dengan satu unit skrin yang menggabungkan paparan instrumen dan infotainment yang memberikan aura futuristik serta minimalis.
Chery turut menitikberatkan aspek keselamatan bateri menerusi Sistem Keselamatan Bateri Guardian yang ditawarkan termasuk pemutus kuasa voltan tinggi iaitu bekalan kuasa dimatikan segera apabila berlaku kemalangan.
Pek baterinya kalis habuk dan air serta mampu bertahan sehingga suhu 95 darjah Celsius selain kenderaan ini berkebolehan meredah banjir dengan kemampuan mengharung kedalaman air sehingga 500mm.
Kesimpulannya, Tinggo 7 PHEV CSH bukan hanya direka sebagai SUV keluarga yang selesa dan efisien (penjimatan tenaga) tetapi memberi rasa premium dalam segala aspek.
Pada harga kompetitif RM129,800 atas jalan raya tanpa insurans, Chery membuktikan SUV hibrid tidak semestinya mahal tetapi hadir dengan pakej lengkap dengan reka bentuk bergaya, prestasi tinggi dan teknologi pintar.
















