PETALING JAYA – Pengaruh negatif permainan video berunsur ganas seperti Roblox dan Grand Theft Auto (GTA) didakwa semakin menguasai pemikiran dan tingkah laku pemainnya apabila mereka mudah bertindak agresif hingga mencederakan orang lain.
Permainan yang menjadi ketagihan kanak-kanak seawal usia lima tahun itu mengubah sepenuhnya identiti diri dan sikap luar biasa anak-anak sehingga sukar dikawal oleh ibu bapa.
Ia diakui sendiri oleh pihak berkuasa yang tidak menolak kemungkinan Roblox telah mempengaruhi minda seorang budak berusia sembilan tahun hingga tergamak mengelar leher adiknya dalam kejadian di Batu Pahat, Johor, Isnin lalu.
Kosmo! yang cuba menyingkap kebenaran itu telah menemu bual beberapa ibu bapa yang berdepan dengan masalah sama. Di Klang, Sarah, 40-an, mendakwa, permainan Roblox mendorong anaknya berusia sembilan tahun memukul adik-beradik selain mengasari dia dan suami sejak sebulan lalu.
Katanya, anaknya kerap berkurung di dalam bilik selepas diberi telefon bimbit.
“Pada awalnya kami mengehadkan penggunaannya setiap hari, namun saya perasan ada perubahan sikap dan tingkah laku apabila dia mula marah-marah dan mengugut jangan mengganggunya.
“Dua minggu lalu, dia terlibat dengan kes buli dan pukul rakan sekelas. Bukan itu sahaja, dia turut memeluk dan meraba murid perempuan hingga digantung sekolah. Selepas didesak, anak mengaku terpengaruh dengan permainan video bertemakan keganasan, peperangan dan aksi ala gengster,” katanya.
Di Ipoh, Mansur, 37, memberitahu, karakter anaknya yang berusia sembilan tahun bertukar selepas beberapa bulan bermain permainan video. Katanya, bukan itu sahaja, bahasa pergaulan yang digunakan ketika bermain permainan online turut bertukar kasar, lucah dan kesat.
“Percakapan itu berlaku apabila mereka tertekan ketika bermain. Memang permainan itu ada menapis perkataan kesat, namun pemain lebih pandai apabila menggunakan aplikasi seperti discord ketika berinteraksi,” katanya.
Menurut Mansur, situasi bertambah buruk apabila anaknya sering meminta telefonnya setiap kali dia pulang dari sekolah dan mula terjerit-jerit dengan bahasa kesat. Tambahnya, bila anaknya langsung tidak mengendahkan teguran, dia nekad memadam permainan video itu.
“Saya ada buat kajian dan dapati memang ada kandungan yang baik, namun kita tak dapat mengawal tingkah laku pemain lain yang mungkin sudah biasa bersikap biadab dan ia pastinya mempengaruhi kanak-kanak lain termasuk anak saya,” katanya.
Di George Town, Syasya, 42, berkata, Roblox dan GTA mengubah sepenuhnya identiti diri dan sikap luar biasa anak bongsunya yang berusia enam tahun.
Dakwanya, wataknya yang lemah lembut dan penyayang kini bertukar agresif dan adakalanya seperti mengalami keresahan, menangis dan menjerit secara tiba-tiba selepas beberapa bulan bermain permainan tersebut.
“Keadaan bertambah serius apabila dia menjadi tidak keruan apabila saya merampas telefon. Saya harap sempat lagi mengubahnya menjadi baik semula,” katanya.
Aina, 45, pula berharap kerajaan dapat memantau dan menyekat semua platform permainan dalam talian yang membawa kepada unsur negatif terutama membabitkan anak muda bawah 16 tahun.
“Meskipun Roblox membantu anak-anak fasih bahasa Inggeris, tetapi ada sisi negatif yang perlu dikawal segera. Contohnya anak-anak ini akan berlawan dengan adik beradik lain dan tidak boleh duduk diam tanpa gajet.
“Makin parah apabila mereka sedaya upaya mahu menguasai semua benda termasuk barangan dalam rumah meskipun tahu bukan hak milik sebenar,” ujarnya.
















