Pada usia 15 tahun, Nur Elisya Qistina Muhammad Farid atau lebih mesra disapa sebagai Qistina sudah berjaya membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Remaja dari Ketereh, Kelantan itu mencipta sejarah apabila terpilih sebagai salah seorang atlet muda yang mewakili Malaysia dalam sukan berkuda di Asian Youth Games Bahrain 2025 yang sedang berlangsung ketika ini.
Bagi remaja yang mesra disapa Qistina itu, dunia berkuda bukan sekadar sukan, sebaliknya satu bentuk ketenangan dan disiplin yang membentuk dirinya menjadi lebih matang.
Di atas pelana, dia belajar tentang keseimbangan bukan hanya pada tubuh, malah dalam jiwa.
Berkongsi dengan K-Remaja, Qistina memaklumkan, perjalanannya dalam sukan berkuda bukan mudah.
Di sebalik usia mudanya, dia berdepan jadual latihan ketat, di samping perlu menumpukan perhatian pada pelajaran.
Namun setiap peluh dan keletihan, dibayar dengan kepuasan yang tidak ternilai apabila diberi peluang membawa nama Malaysia ke pentas Asia.
“Saya mula berjinak-jinak dengan kuda sejak kecil. Boleh dikatakan, selepas lahir saya sudah berada di atas kuda.
“Ini kerana, datuk saya mempunyai sebuah ladang kuda dikenali sebagai Bukit Ajil Stable yang diusahakan di Machang,” katanya membuka bicara.
Datuk Qistina, Wan M.S Norzihan merupakan bekas jurulatih Tengku Mahkota Kelantan Endurance Team (TMKN Equestrian) pada 2006.
Sementara itu, bapa saudaranya, Wan M.S Norhafizi juga adalah seorang individu hebat dalam sukan berkuda dan pernah menjadi juara Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2010.
Dari situlah, timbul minat Qistina dalam sukan lasak tersebut sehingga berjaya membawa negara ke kejohanan besar.
Selain ibu bapa, datuk Qistina menjadi individu yang banyak memberikan dorongan kepadanya untuk menceburkan diri dalam sukan berkuda.
“Bahkan, datuk juga menjadi individu yang mengatur serta menyusun jadual saya, lebih-lebih lagi untuk menghadapi kejohanan di Bahrain ini,” katanya.

Selain Qistina, empat lagi remaja turut terpilih mewakili Malaysia ke Bahrain di bawah kelab Bukit Ajil Stable.
Mereka ialah Abdullah Faqeh Muhamad, Muhammad Faris Zaquan Mohd. Faisal, Muhammad Nurhan Fawwaz Mohd. Nuhairi dan Wan Nur Irdina Aisya Wan Mohd. Kamaluddin.
Menurut Qistina, dia melakukan persiapan intensif selama sebulan untuk menyertai kejohanan di Bahrain itu. Namun, memandangkan itu merupakan penyertaan kali pertama Qistina dalam sukan berkuda di luar negara, dia berasa cukup teruja. Dia ingin melihat suasana pertandingan yang pastinya cukup berbeza berbanding di dalam negara.
Berkongsi tentang harapan jangka panjangnya bagi sukan itu, Qistina berharap pada suatu hari nanti dia akan bergelar atlet lumba kuda endurance (jarak jauh) yang hebat di Malaysia.
“Bagi remaja yang mungkin mempunyai minat dalam sukan berkuda, nasihat saya adalah teruskan minat anda itu, dan jangan sesekali berputus asa.
“Paling penting, bina kasih sayang dengan haiwan.
“Walaupun sukan ini cukup mencabar, namun jika ada minat dan berdisiplin, anda pasti akan berjaya,” katanya.
Pengurus Qistina yang juga merupakan jurulatih Tahap 1 Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) Level, Dr. Mohd. Nazri Muhayiddin berkata, dari perspektif seorang pengurus, dia melihat Qistina mempunyai kelebihan kerana ahli keluarganya sememangnya hebat dalam sukan kuda lasak.
“Datuknya merupakan seorang yang tegas, manakala Qistina pula orangnya tidak mudah patah semangat.
“Dari segi teknik pula, sebagai jurulatih dengan sijil FEI, kami belajar pelbagai teknik menunggang kuda untuk diajar kepada para penunggang.
“Apa yang saya perhatikan, Qistina menggunakan teknik terbaik untuk latihan endurance terutama bagi menghadapi kejohanan di Bahrain ini,” katanya.
Nazri menambah, dia percaya peluang untuk pasukan Bukit Ajil Stable meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam kejohanan itu adalah cerah.
“Peluang menang gangsa bagi acara kumpulan sangat cerah.
“Namun untuk menang pingat perak atau emas, saya rasa negara seperti Bahrain atau Emiriyah Arab Bersatu mempunyai kelebihan kerana mereka menggunakan kuda sendiri.
“Ia berbeza dengan kami yang perlu sewa kuda daripada pihak luar. Jadi, kami tidak boleh berharap terlalu tinggi sangat.
“Bukan saya tidak yakin dengan kehebatan pasukan, namun kebiasaannya untuk berjaya, atlet memerlukan kuda sendiri,” katanya.
Menutup bicara, Nazri berkata, dia merancang supaya Qistina dapat beraksi secara berterusan, dan tidak terhenti setakat di 3rd Asian Youth Games.
“Untuk Qistina, perancangan kami adalah untuk mengumpul mata buatnya dalam sukan berkuda.
“Ia penting bagi meningkatkan rankingnya dalam Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa.
“Untuk makluman, kejohanan remaja bagi sukan kuda lasak akan berlangsung setiap dua tahun yang dikenali sebagai Junior Young Riders Championship.
“Kejohanan itu telah berlangsung baru-baru ini di Buftea, Romania. Kejohanan seterusnya adalah pada 2027, namun lokasinya belum diperincikan.
“Justeru, kami akan mempersiapkan Qistina untuk kejohanan itu supaya dia lebih ke hadapan dalam sukan berkuda ini,” katanya.















