fbpx
JAA SUZURAN pernah menggunakan telefon bimbit jenama dari China yang membolehkannya mendengar lagu, radio, menggunakan kamera dan menonton siaran televisyen.

Pernah pakai telefon unik China berantena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia hiburan yang semakin dipacu oleh teknologi dan media sosial, Jaa Suzuran muncul sebagai antara selebriti muda yang memahami bagaimana dunia digital membentuk kerjaya moden. 

Bagi pemilik nama Mohamad Faizal Ahmad itu, minat terhadap gajet bukanlah sesuatu yang baharu, malah, pengalaman awalnya dengan teknologi bermula sejak kecil dan seperti kebanyakan remaja pada era awal 2000-an, segalanya bermula dengan konsol permainan.

Katanya, pengalaman awal gajet yang masih dia ingat adalah PlayStation 1 (PS1) yang tidak pernah dimiliki tetapi hanya dipinjam daripada rakan.

“Gajet permainan video pertama saya adalah konsol pita (tape) tetapi bila PS1 keluar, saya nak beli tetapi tidak mampu jadi saya pinjam dengan kawan.

“PS1 milik kawan itulah yang menjadi pintu masuk saya ke dunia permainan video yang lebih menyeronokkan,” katanya ketika ditemui K-Tekno di Lakefields, Sungai Besi, baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Abe Bukey Boyo itu, setelah bergelar selebriti dan pempengaruh, Jaa berjaya memiliki koleksi gajet impiannya daripada PS4, PS5, hingga ke Gameboy dan pelbagai aksesori permainan lain.

Berkongsi tentang permainan video kegemarannya, Jaa memberitahu, permainan seperti PUBG, GTA, God of War, Red Dead Redemption dan Ghost of Tsushima menjadi kegemarannya, menggambarkan kecenderungannya terhadap genre aksi dan pengembaraan. 

GAMEBOY antara koleksi gajet kegemaran Jaa Suzuran.

“Sampai sekarang saya memang selalu ikut perkembangan gajet berkaitan permainan video dan minat saya terhadap teknologi bukan sekadar hobi tetapi sebahagian daripada diri.

“Selain permainan, saya turut menitikberatkan keperluan teknologi dalam bidang kreatif. Sebagai seorang selebriti dan pempengaruh media sosial, kamera menjadi peralatan paling penting dalam kerjaya,” ujarnya.

Katanya lagi, kamera banyak membantunya dalam karier, sebab dia perlu menghasilkan imej dan video yang cantik untuk tugas endorsement atau review.

Bagi Jaa, dunia selebriti hari ini menuntut kreativiti yang seimbang antara bakat dan kemahiran menggunakan teknologi.

Menariknya, walaupun mengikuti perkembangan teknologi terkini, Jaa masih seorang pengguna yang setia dan praktikal. 

“Saya jenis guna satu model telefon sampai rosak baru beli baru. 

“Saya juga pernah menggunakan telefon jenama dari China yang unik yang merupakan ‘klon Nokia’.

“Dengan telefon itu saya boleh dengar lagu, radio, ada kamera dan boleh menonton siaran televisyen. Masa itu saya rasa macam paling canggih,” katanya berseloroh.

BERMULA dengan PS1 yang dipinjam daripada kawan, Jaa Suzuran kini memiliki PS4, PS5.

Jaa percaya bahawa teknologi dan media sosial kini memainkan peranan besar dalam membina jenama peribadi artis. 

Kongsinya, jika artis itu bukan dari kategori besar, teknologi adalah jambatan penting untuk meluaskan jaringan peminat. 

Platform seperti Instagram, TikTok dan YouTube bukan sekadar tempat berkongsi kehidupan seharian tetapi menjadi ruang untuk berinteraksi dengan peminat serta mendapatkan peluang kerja baharu.

“Bagi saya, kita kena manfaatkan media sosial dengan cara yang betul. Insya-Allah, dari situ rezeki akan datang.

“Selebriti perlu memanfaatkan perkembangan teknologi sekarang kerana pada masa ini, orang ramai juga sudah menjadikan teknologi sebagai keperluan harian,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN