fbpx
NORDIC walking yang semakin mendapat perhatian masyarakat negara ini sesuai dilakukan di kawasan rata, namun sedikit berbukit.

Trend ‘full body workout’ berjalan dengan kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap langkah Nurul Aidiladha kelihatan perlahan dan santai, namun jangan tertipu, kerana aktiviti yang dibuat itu sebenarnya membakar kalori hampir menyamai berjoging.

Dengan dua batang kayu khas di tangan dan rentak langkah yang teratur, lelaki yang mesra disapa Aidil itu kelihatan bersemangat menelusuri laluan hijau di sekitar Anjung Gapam, Ayer Keroh, Melaka seawal pukul 7 pagi.

Membuka bicara kepada CitaRasa, Aidil, 47, yang merupakan pengasas Nordix Club Malaysia, sebuah kelab Nordic walking berkongsi mengenai aktiviti berjalan kaki unik itu yang kini mencipta kelompok peminat tersendiri.

Kelab tersebut diasaskan pada 2023 dan sehingga kini mempunyai lebih 800 orang pengikut di platform TikTok dengan 50 ahli yang aktif melakukan Nordic walking di seluruh negara.

Nordic walking ialah sejenis aktiviti berjalan kaki yang menggunakan dua batang kayu khas dipanggil ‘poles’, mirip kayu ski.

Ia berasal dari Finland dan diperkenalkan oleh atlet ski silang negara (cross-country skiers) pada musim panas untuk mengekalkan kecergasan.

Kini, Nordic walking menjadi aktiviti kecergasan popular di seluruh dunia kerana mudah, bermanfaat kepada seluruh badan dan sesuai untuk semua peringkat walaupun pengamal lazimnya dalam kalangan mereka yang berusia.

Berbeza berjalan biasa, Nordic walking melibatkan pergerakan tangan, bahu, dada dan belakang badan dengan penggunaan kayu khas yang ditolak ke tanah pada setiap langkah. Ini menjadikannya sebagai full body workout.

“Sebelum tahun 2009, saya merupakan seorang yang aktif bersukan dan berbasikal, namun pada tahun sama, saya disahkan mengalami slip disc menyebabkan doktor hanya menyarankan saya untuk melakukan aktiviti senaman ringan seperti berenang dan berjalan santai, sebagai alternatif untuk saya meneruskan gaya hidup sihat seperti sebelum ini.

“Untuk melakukan aktiviti renangan, ia memerlukan sebuah kolam renang dan salah satu caranya saya perlu jadi ahli kelab sukan renang atau membayar yuran menggunakan kolam di pusat rekreasi untuk tujuan berkenaan. Ini agak membebankan saya dengan kos yang perlu dibayar bagi tujuan tersebut selain lokasi yang jauh dari tempat tinggal.

“Untuk melakukan jalan santai pula atau briskwalk pada saya tidak challenging dan agak membosankan dan akhirnya lebih kepada jalan-jalan sambil makan makanan ringan umpamanya, bermaksud aktiviti ini kurang memberi impak positif untuk tubuh badan saya.

“Kemudian, pada tahun 2019, saya diperkenalkan dengan aktiviti Nordic walking oleh seorang rakan saya dari Melbourne, Australia yang melibatkan lebih banyak pergerakan serta lebih banyak kalori terbakar,” katanya.

Aidil menambah, sehingga kini, antara negara yang aktif mengamalkan Nordic walking adalah Finland, Jerman, Sweden, Perancis, Jepun dan China.

Menurut Pegawai Pendidikan TVET di Pejabat Daerah Jasin itu lagi, dia tertarik untuk memperkenalkan Nordic walking di Malaysia kerana masih ramai masyarakat belum tahu manfaat aktiviti riadah itu.

“Ramai yang memandang pelik kepada kami apabila kami melakukan aktiviti ini, ibarat kami ini adalah sekumpulan orang kelainan upaya (OKU), sedangkan aktiviti ini sama seperti aktiviti riadah yang lain.

“Selain itu, Nordic walking dengan teknik yang betul membakar lebih banyak kalori (sehingga 46 peratus lebih banyak) berbanding berjalan biasa,” katanya.

Sekumpulan wanita anggota Nordic Walkers Malaysia melakukan aktiviti itu di Austria baru-baru ini. – FACEBOOK NORDIC WALKERS MALAYSIA

Bagi mereka yang baru ingin mencuba, Nordic walking tidak memerlukan kemahiran tinggi atau peralatan mahal, cukup dengan sepasang kasut yang selesa, dua batang kayu khas dan sedikit semangat untuk bergerak.

Kongsinya lagi, pemilihan lokasi perlu diberi sedikit pertimbangan, antaranya adalah lokasi dengan laluan rata atau sedikit berbukit supaya tidak terlalu mencabar.

“Selain itu, pilih permukaan yang tidak licin dan tidak berbatu agar kestabilan semasa berjalan tetap terjaga.

“Ruang yang luas juga penting agar poles boleh diayun dengan bebas.

“Masa yang sesuai pula adalah awal pagi atau waktu petang bagi mengelakkan terdedah kepada cuaca panas ekstrem. Bagi aspek keselamatan pula, pastikan pencahayaan kawasan berjalan itu bagus,” katanya.

Bagi kumpulannya, Aidil berkata mereka kerap melakukan aktiviti itu di Melaka Botanical Garden, Taman Rekreasi Anjung Gapam, Melaka River Walk, Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam dan Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah.

Bagi Aidil, aktiviti itu layak digelar sebagai gaya hidup baharu, dek kerana sifatnya yang holistik, bukan sahaja memberi manfaat kepada minda, tetapi juga mental keranalazimnya dibuat dalam kumpulan dan secara sosial.

“Selain itu, ia cukup accessible memandangkan boleh diamalkan di mana-mana sahaja. Ia juga tiada tekanan tinggi pada sendi, menjadikan sesuai diamalkan berterusan sehingga bertahun-tahun lamanya.

“Aktiviti ini juga eco-friendly kerana tidak membabitkan bahan bakar atau pencemaran, justeru menjadikan seiring trend green fitness,” katanya.Biarpun masih terlalu baharu di Malaysia, Aidil bagaimanapun berkata pendedahan aktiviti dan juga kegiatan itu di platform TikTok menjadikan ramai yang mula berminat untuk mencubanya.

“Untuk NORDIX CLUB Malaysia, kami ada ahli aktif di Shah Alam, Selangor; Batu Pahat dan Johor Bahru, Johor; Kuantan, Pahang; Pulau Pinang dan di Ayer Keroh, Melaka sendiri,” katanya.

Menariknya, beberapa kumpulan komuniti Nordic walking kini aktif mengadakan sesi mingguan di lokasi bersesuaian.

Aktiviti yang dahulu asing bagi rakyat tempatan kini mula menarik minat golongan muda dan warga emas yang mencari cara sihat untuk kekal cergas sambil bersosial.

Seorang pengamal aktiviti itu di TikTok, syam_rebiuu berkongsi, Nordic walking sesuai untuk mereka yang baru memulakan gaya hidup sihat.

“Nak joging tapi takut terkejut, Nordic walking lebih selamat, terkawal dan relaks,” kongsinya sambil menampilkan video dirinya melakukan aktiviti itu.

Perkongsian Facebook satu lagi kumpulan aktif Nordic walking di Malaysia iaitu Nordic Walkers Malaysia memperlihatkan aktiviti itu turut telah dibuat di kawasan pergunungan di Walsertal, Austria pada Jun lalu.

Berlatarbelakangkan pemandangan yang memukau, sekumpulan wanita yang merupakan ahli kelab dilihat menghabiskan masa dengan berjalan kaki bersama-sama, sambil memegang poles masing-masing.

Bahkan, kumpulan tersebut juga bakal menganjurkan acara Nordic walking bersama beberapa buah persatuan warga emas (senior) dengan menaiki kereta api tidak lama lagi ke Kluang, Johor.

“Selepas kejayaan perjalanan kereta api pertama ke Sungai Petani dan Gunung Jerai, Kedah serta ke AC Marriott Hotel Ipoh, Perak, saya menerima banyak permintaan untuk menganjurkan perjalanan kedua. Maka, bersama rakan pengembara yang sentiasa bersemangat, kita akan memulakan perjalanan kali ini ke Kluang, Johor menaiki ETS baharu.

“Lengkap dengan Nordic poles dan semangat tinggi, kita bersiap sedia menaiki kereta api. Setakat ini, seramai 35 penumpang telah pun mendaftar untuk perjalanan sehari kita pada 28 Oktober ini,” tulis hantaran tersebut.

Nordic walking bukan sekadar aktiviti riadah. Ia adalah gaya hidup sihat yang menyatukan komuniti, menghubungkan manusia dengan alam dan membuktikan usia bukan penghalang kekal aktif.

Dengan langkah yang tersusun dan irama yang seiring, setiap ayunan tongkat bukan hanya menguatkan tubuh, tetapi juga mencipta semangat baharu untuk terus menikmati kehidupan dengan tenaga dan keceriaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN