fbpx
Permainan video boleh mencetuskan pemikiran agresif jika tidak dikawal. - Gambar hiasan

Permainan video ganas ‘jerat’ minda remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU pengaruh permainan video terhadap tingkah laku agresif bukanlah baharu, malah terus menjadi perhatian setiap kali tercetus kes jenayah membabitkan remaja.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar lelaki menikam rakan sekolahnya hingga maut. Masyarakat segera menyoal adakah permainan video ganas boleh mendorong seseorang, terutama anak muda, menjadi pembunuh?

Sebagai wartawan yang mengikuti pelbagai kes jenayah remaja, penulis melihat fenomena ini bukan kebetulan.

Ada corak yang berulang, kebanyakan suspek muda yang terlibat dalam jenayah berat menunjukkan kecenderungan terhadap permainan video berunsur tembakan, peperangan atau simulasi pembunuhan.

Dunia maya yang sepatutnya menjadi hiburan akhirnya mencipta sempadan kabur antara realiti dan fantasi.

Permainan video moden kini lebih realistik berbanding dua dekad lalu, visualnya tajam, emosi watak disusun dengan teknologi kecerdasan buatan, malah sistem ganjarannya dirancang untuk memupuk ketagihan.

Remaja yang masih dalam fasa membentuk identiti diri lebih mudah terperangkap dalam ‘ganjaran dopamin’ ini di mana mereka rasa puas apabila berjaya ‘membunuh’ musuh.

Dalam konteks psikologi jenayah, teori ‘social learning’ menjelaskan tingkah laku agresif boleh dipelajari melalui pemerhatian dan peniruan.

Bila unsur ganas dipersembahkan berulang kali, ia boleh menormalisasi tindakan itu dalam minda seseorang menyebabkan individu kurang sensitif terhadap penderitaan orang lain di dunia sebenar.

Penulis berpandangan, masalah ini bukan hanya soal permainan video semata-mata, tetapi juga berkait dengan kerapuhan kawalan sosial dalam keluarga dan sekolah.

Ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka bermain permainan berunsur dewasa yang penuh adegan tembak-menembak dan pembunuhan.

Lebih membimbangkan, ramai anak muda menjadikan permainan video sebagai ruang ‘pelarian’ daripada tekanan hidup dan akademik.

Pakar Kriminologi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, bagi individu yang mempunyai latar belakang keluarga bermasalah, tekanan hidup atau gangguan mental, permainan video ganas boleh mencetuskan corak pemikiran agresif.

“Bukan semua pemain akan menjadi ganas atau kehilangan empati kerana bermain permainan video yang keras.

“Sebaliknya, majoriti pemain mampu memisahkan antara dunia maya dan dunia sebenar,” katanya.

Dr. Zalmizy turut menjelaskan, dalam keadaan yang ekstrem individu sebegini mungkin terdorong meniru tingkah laku ganas yang mereka lihat di skrin sebagai satu cara untuk melepaskan kemarahan.

Penulis tidak menolak bahawa permainan video juga mempunyai sisi positif dengan ia mampu meningkatkan kemahiran motor, koordinasi mata dan tangan, malah membentuk semangat berpasukan.

Isu utama bukan pada teknologi, tetapi cara kita mengurus pendedahan anak muda terhadapnya. Permainan ganas perlu dihadkan, ibu bapa perlu pantau dan sekolah harus didik pelajar tentang empati serta kawalan emosi.

Oleh itu, kita perlu berhenti menganggap isu ini sebagai ‘sekadar permainan’, sebaliknya perlui memahami antara fantasi dan realiti yang semakin kabur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN