PADANG BESAR – Sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand melalui negeri ini kini semakin berani apabila mereka mempergunakan segelintir penduduk tempatan untuk dijadikan tali barut bagi melancarkan kegiatan haram tersebut.
Penglibatan ‘orang dalam’ terutama mereka yang mahir mengenai selok-belok dan laluan tikus di kawasan sempadan hutan menyebabkan pihak berkuasa berdepan cabaran dalam membanteras pelbagai aktiviti penyeludupan.
Lebih membimbangkan apabila ‘mata-mata’ penyeludup ini turut menggunakan teknologi moden seperti dron untuk memantau pergerakan pasukan keselamatan sebelum merancang membawa keluar masuk barang seludup mengikut masa yang dianggap selamat.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hasil risikan mendapati, terdapat segelintir penduduk termasuk mereka yang tinggal di kawasan perkampungan di sempadan telah menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan.
“Mereka memantau pergerakan pihak berkuasa dan menyalurkan maklumat kepada sindiket penyeludupan sama ada di sebelah sini atau negara jiran.
“Mata-mata ini menggunakan dron untuk melakukan pemantauan dan koordinasi mereka sendiri. Sekarang ini semua mampu membeli dron kerana ada yang dijual secara dalam talian pada harga rendah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk sanggup menjadi tali barut kepada sindiket kerana ia memberikan pendapatan lumayan kepada mereka.
“Jumlah upah dipercayai agak tinggi bergantung kepada nilai dan kuantiti barangan yang mahu diseludup serta tahap risiko.
“Tali barut ini yang turut dikenali sebagai ‘sapu air’ dipercayai melakukan kerja itu untuk meneruskan kehidupan, malah ada yang mahu mengekalkan gaya hidup mewah hasil daripada kegiatan haram,” katanya.
Difahamkan, seorang ‘mata-mata’ boleh memperoleh bayaran antara RM250 hingga mencecah ribuan ringgit bagi tugasan yang diberikan.
Antara jenis penyeludupan yang biasa dilakukan menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Perlis ialah dadah, daun ketum dan ubat batuk dengan Wang Kelian menjadi pilihan sindiket untuk menjalankan kegiatan tersebut.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, selain menyalurkan maklumat, ada antara mereka yang disyaki turut terlibat secara langsung dalam kegiatan penyeludupan.
“Mereka ini ada yang berperanan sebagai ejen dan tali barut sindiket penyeludupan. Ada dalam kalangan mereka yang menjadi buruan pihak berkuasa kini bersembunyi di negara jiran,” katanya.
Katanya lagi, sindiket dipercayai menyasarkan penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan, berpendidikan rendah serta mereka yang mahu mendapatkan wang dengan mudah.
Dalam pada itu, Muhammad memaklumkan pihaknya berjaya merekodkan rampasan pelbagai barang seludup mencecah RM53.27 juta sepanjang tahun ini.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM23.02 juta.
“Nilai rampasan tertinggi pada tahun ini ialah dadah jenis syabu RM40.6 juta diikuti ganja (RM15.5 juta), daun ketum (RM120,140)dan heroin bernilai RM65,820,” katanya.
Beliau berkata, antara kejayaan terbesar ialah rampasan 409 ketulan mampat ganja bernilai keseluruhan RM1.3 juta pada 29 April lalu dan 365 kilogram syabu bernilai RM13.14 juta pada Jun lepas.
“Kita percaya dadah yang diseludup masuk menerusi sempadan bukan kegunaan penagih di sini, tetapi Perlis dijadikan laluan untuk dadah itu dihantar ke selatan atau negara lain,” ujarnya.
Sementara itu katanya, tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) mencatatkan seramai 102 orang pada tahun lalu dan 48 orang bagi tahun ini sehingga bulan lalu.
“Selain itu, tangkapan tekong pula merekodkan 34 orang pada tahun lalu dan 14 orang bagi tahun ini,” ujarnya.
Tambah beliau, barangan lain yang sering diseludup ke negara jiran ialah petrol dan minyak masak bersubsidi.














