fbpx
Akhirnya, impian saya tercapai dengan naiknya ikan tapah ini. (kiri) Tekong membantu menangguk ikan sungai saiz besar untuk dinaikkan ke dalam bot (kanan).

Tapah, khazanah ikan asli Sungai Bernam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DAHULU, ikan tapah diketahui dapat dipancing dengan teknik menunda (trolling) gewang, walaupun lazimnya ia lebih banyak terjerat dengan tajur atau jaring.

Namun kebelakangan ini, teknik mengilat ikan tapah semakin mendapat tempat dalam kalangan pemancing.

Kebiasaannya, pemancing akan memilih waktu awal musim tengkujuh iaitu sekitar Oktober hingga Disember. Malah, kadangkala berlanjutan hingga awal tahun berikutnya untuk turun mengilat ikan tapah kerana ia dikatakan aktif mencari makanan di pinggir tebing sungai tatkala air besar.

Ikan tapah diketahui sangat aktif pada waktu malam terutamanya ketika senja sehinggalah ke subuh. Namun, siapa yang hendak turun mengilat pada waktu malam? Lebih banyak bahaya daripada ceria.

Saya tetap memilih mengilat pada waktu siang kerana ikan tapah sebenarnya diketahui boleh dipancing di siang hari. Cuma saya akan melebihkan aktiviti mengilat di awal pagi dan lewat petang kerana dikatakan itulah masa keemasan untuk menggoda tapah.

Selain itu, saya merancang untuk target kawasan yang redup di sepanjang tebing sungai kerana berfikiran ikan tapah pasti memerlukan satu lubuk teduh ketika matahari terpacak di atas kepala.

Tapah juga diketahui gemar mendiami sungai berarus perlahan dengan air berwarna gelap.

Terutama sekali lubuk-lubuk berteluk dengan bahagian tepi tebingnya berumput atau bersamai tebal dan di kawasan bangkar kayu tenggelam.

Selain itu, kawasan pertemuan arus sungai yang membentuk pusaran air tenang sering dianggap ‘zon potensi’ kerana kehadiran banyak kumpulan anak-anak ikan sebagai makanannya.

Sungai Bernam

Baru-baru ini, saya berpeluang merasai sendiri tarikan padu ikan yang menjadi idaman ramai pengilat.

Saya turun di jeti Abang Jamil dan menggunakan perkhidmatan bot tekong Rosahir yang kerap turun untuk menajur ikan tapah di sungai ini.

Paras air sungai agak tinggi ketika itu disebabkan hujan yang berterusan kerana negara sedang memasuki musim peralihan monsun.

Seminggu selepas trip saya, sahabat saya, Riduan kena seekor ikan tapah pada pukul 1 tengah hari. Ini menunjukkan ikan tapah juga aktif ketika siang.

Ini merupakan trip penuh pertama saya untuk memburu ikan tapah dengan teknik mengilat.

Setelah mendapatkan pelbagai info untuk mengilat ikan tapah daripada majalah dan surat khabar, akhirnya saya bersedia dengan gewang yang dapat menyelam di takat kedalaman antara dua hingga tiga meter (m) berbentuk ‘shad’ kerana profil sisi badannya agak menyerupai anak ikan.

Saya turut memilih gewang dengan warna terang seperti fire tiger, pink, oren, chartreuse dan kuning kerana ia efektif di air gelap atau keruh.

Oleh kerana khuatir tapah saiz mega yang menyergap gewang, maka saya guna set kuat iaitu joran Monster Kiss model Dear Monster MX-7 dipadankan dengan kekili Abu Garcia Revo Beast-X. Tali utama pula Varivas PE5, manakala shock leader Bossna 80lb.

Sasaran gewang

Bagi saya, cara mengilat ikan tapah yang terbaik adalah dengan melempar gewang rapat ke kawasan berpotensi seperti ke gigi air berteluk dengan tompokan rumput tebal dan bereba.

Bukan senang hendak mengoda ikan tapah, jadi hantaran gewang ke sudut-sudut yang dirasakan berpotensi haruslah sentiasa tepat agar peratusan untuk strike itu tinggi.

Setiap peluang tidak sepatutnya disia-siakan kerana akan mengganggu lubuk setiap kali proses melepaskan gewang tersangkut dilakukan.

Paling penting, jangan sesekali berputus asa, gewang hendaklah sentiasa dilemparkan tanpa henti kerana setiap kali ia dimainkan, ada potensi akan disergap ikan trofi.

Tapah idaman

Bot menyelusuri sepanjang tebing sambil saya mengilat ke sudut-sudut yang diarahkan oleh tekong.

TELUK yang berpotensi dihuni ikan tapah dapat dilihat dengan keadaan air berpusar perlahan, dan adanya kawasan rumput tebal di permukaan air serta bereba kayu di dasarnya.

Ini kerana, dia lebih arif kawasan tapah berada berdasarkan pengalamannya menajur ikan tersebut di situ.

Dari pagi sehingga tengah hari, tiada satu sambaran pun saya terima. Nekad untuk mendapatkan trofi ikan idaman ini, trip bersambung selepas rehat waktu zuhur.

Hampir pukul 4 petang, saya masih lagi gigih mengilat.

Kami sampai ke satu lubuk yang airnya berpusar perlahan, gewang dihantar rapat ke kawasan berumput tebal.

Sebaik melakukan karauan, terasa ia diterkam sesuatu yang besar.

Saya terus sembat joran dengan kuat dan ikan terus membenam ke dasar.

Tekong bertindak pantas dengan memacu bot terus ke tengah sungai untuk menjauhi kawasan bereba yang berisiko tersangkut.

Selepas ikan dihela keluar, barulah saya dapat bertarung dengannya tanpa risau.

Ikan sememangnya kuat dan sentiasa menekan sehinggalah ia dapat ditangguk tekong.

Alangkah puasnya hati saya kerana akhirnya trofi ikan khazanah asli negara yang menjadi idaman selama ini berjaya dinaikkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN