KOTA TINGGI – Impian generasi kedua Felda Papan Timur di sini, untuk memiliki rumah idaman hanya tinggal kenangan dan harapan yang pernah menyala kini semakin malap.
Sebanyak 539 unit Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang dijanjikan siap sejak 2022 masih terbengkalai, berdiri sepi di tengah tapak projek yang dipenuhi semak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, ia amat mengecewakan kerana isu tersebut sudah berlarutan lebih 10 tahun.
Lebih memilukan, ada pemohon asal telah meninggal dunia tanpa sempat menjejakkan kaki ke rumah impian mereka.
“Bayangkan ada pemohon ketika memohon dahulu masih bujang, sekarang sudah berkeluarga dan mempunyai ramai anak.
“Sampai sekarang tidak siap dan proses pembinaannya sangat perlahan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Inisiatif Memperkasa Komuniti Felda Negeri Johor peringkat DUN Penawar di sini semalam.
Menurutnya, beliau sendiri telah turun padang minggu lalu bersama pengurusan Felda Investment Corporation bagi meninjau sendiri keadaan projek berkenaan.
Katanya, kontraktor terlibat telah dikenakan surat denda Extension of Time dan kini masih menunggu kelulusan penyambungan semula daripada pihak Felda.
“Projek ini sudah masuk kontraktor ketiga. Saya desak supaya pihak Felda menilai semula dan menyegerakan penyelesaian isu ini.
“Jangan biar pemohon terus menunggu tanpa kepastian. Kita harap projek perumahan ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.
Katanya, projek yang melibatkan kawasan Felda Papan Timur, Sungai Mas dan Bandar Mas itu menawarkan harga rumah sekitar RM90,000 hingga RM100,000.














