fbpx
Reka bentuk sedan mewah C200 AMG Line 2025 memikat dengan bampar depan dilengkapi apron AMG liang kemasukan udara lebih besar dan profil sisi bersentuhan sporty.

C200 AMG Line 2025 ganti model Avantgarde

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA automotif Jerman, Mercedes-Benz amat sinonim dengan kemewahan, prestij dan cita rasa tinggi.

Sejak kemunculannya pada awal 1990-an, Mercedes-Benz siri C-Class sentiasa menjadi tulang belakang kepada dunia sedan mewah.

Walaupun C-Class bukan model paling mahal, tetapi ia masih membawa aura ‘kereta premium’ dalam bentuk yang lebih praktikal.

Tidak hairanlah, C200 menjadi pilihan ramai golongan profesional, eksekutif dan usahawan yang mahukan kereta elegan tetapi tidak terlalu menonjol seperti E-Class atau S-Class.

Dengan pelancaran model C200 AMG Line 2025 pada September lalu, Mercedes-Benz telah memperkukuh identiti C-Class dengan sentuhan lebih sporty, teknologi pintar dan imej yang hampir menyamai AMG sebenar.

Namun, aspek keselesaan masih dikekalkan dan penggunaan bahan api efisien menjadi identiti C-Class selama ini.

Dari jauh, sedan mewah itu memikat dengan menampilkan rupa yang lebih berani dan berotot.

Bampar depan C200 AMG Line baharu dilengkapi apron AMG dengan liang kemasukan udara lebih besar dan gril radiator corak ikonik ‘star pattern’ Mercedes-Benz

Model C200 AMG Line 2025 dengan penggayaan yang lebih sporty ini menggantikan model C200 Avantgarde sebelum ini.

Masih lagi dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pengeluaran Pekan, Pahang, ia dijual pada harga RM292,888 (atas jalan raya tanpa insurans).

Profil sisinya kekal elegan dengan sentuhan sporty, diperkemas dengan rim AMG multi-spoke 19 inci serta kaliper brek berlogo Mercedes-Benz.

Bahagian belakang pula tampil lebih dramatik dengan diffuser bawah dan dua tip ekzos menjadikan sedan ini tampil lebih agresif di jalan raya.

Walaupun perubahan luaran ini banyak bersifat kosmetik, tetapi telah memberi karakter baharu kepada C200 memperlihatkan ia bukan lagi sedan eksekutif ‘kecil yang lembut’, sebaliknya sedan kompak yang penuh keyakinan diri.

Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh Mercedes-Benz Malaysia untuk memandu uji model baharu C200 AMG Line ini bagi menilai prestasi dan pengendaliannya.

Bagi penulis, karakter C200 ini sesuai dengan jiwa pemanduan penulis yang tidak terlalu ekstrem dalam masa sama mahukan kenderaan yang selesa untuk keluarga.

Ketika memandu di lebuh raya dan jalan bandar dari Kuala Lumpur ke Port Dickson, sedan ini terasa tangkas dan stabil hasil pacuan roda belakang (RWD) serta suspensi multi-link yang diwarisi DNA C-Class sebelum ini.

C200 AMG Line dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo empat silinder dengan bantuan motor elektrik ringan ‘mild hybrid’ menghasilkan kuasa gabungan sehingga 204hp dan 300Nm tork.

Lebih menarik, sistem ‘mild hybrid’ melalui Integrated Starter Generator (ISG) memberikan tambahan kuasa 17kW dengan tambahan tork 200Nm.

Ia mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 7.3 saat dengan kelajuan maksimum246 km/j.

Ketika melalui selekoh, badan sedan ini mengekalkan kestabilan dan stereng berfungsi dengan baik mengikut gaya pemanduan penulis.

Transmisi gear automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic menukar gear dengan lembut. Ketika memandu dalam mod Comfort pecutan terasa linear tetapi apabila mod Sport diaktifkan kuasa yang diberikan oleh jentera ini luar biasa dan memecut laju dengan penuh yakin.

Meninjau ke ruangan kabin, C200 ini menggunakan kemasan AMG Line seperti stereng sport pelbagai fungsi dibalut kulit nappa dengan bahagian bawah yang rata, pedal sport AMG daripada keluli tahan karat serta alas kaki baldu hitam dengan tulisan ‘AMG’.

Kemasan AMG ini menambah rasa premium dan keseronokan pemanduan dilengkapi skrin sentuh untuk sistem infotainment bersaiz 11.9 inci dan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3 inci.

Dari segi teknologi, model ini hadir dengan pakej parkir bersama kamera 360 darjah membolehkan pandangan menyeluruh termasuk ‘imej 3D pandangan burung’ untuk memudahkan parkir.

Selain itu, Pakej USB Plus menyediakan enam port USB Type C dan dua soket 12 volt dengan sokongan pengecasan pantas untuk semua penumpang.

Kesimpulannya, jentera ini adalah pilihan tepat untuk mereka yang mahukan gabungan gaya, praktikaliti dan imej sporty tanpa kompromi dari segi keselesaan dan penggunaan harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN