Presiden Donald Trump mengumumkan perang Gaza telah berakhir sementelah kejayaan beliau gagal dicapai mana-mana Presiden Amerika Syarikat sebelum ini mahupun pemimpin dunia lain yang cuba menjadi pendamai krisis Israel-Palestin.
Pengumuman itu disusuli pengulangan beliau sendiri bahawa gencatan senjata terbaharu itu akan bertahan.
Malah, Trump sendiri menghadiri dan menandatangani deklarasi pengukuhan gencatan senjata pada sidang kemuncak di Sharm el-Sheikh, Mesir bersama tuan rumah, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu di samping kehadiran wakil lebih 20 negara lain.
Beliau bukan sahaja mengumumkan bahawa masa untuk membangunkan semula Gaza sudah bermula, malah memberi jaminan rakyat Palestin tidak akan diusir keluar.
Ketika itu, ramai pemimpin dunia percaya akan kata-kata beliau dan menanti lembaran baharu untuk pemulihan Gaza khususnya pembukaan semua lintasan bagi membawa masuk bantuan asas terutama makanan kepada lebih 2 juta penduduk Palestin yang kelaparan
Pelan damai Gaza 20 perkara yang diutarakan oleh Trump itu bukan untuk seketika tetapi menampilkan road map menyeluruh pengakhiran perang, pembangunan semula Gaza sekali pun tanpa penyertaan Hamas.
Ramai pemimpin dunia yang percayakan Trump kerana sejak penggal pertama pentadbirannya, beliau bukanlah penggila perang dan lebih utamakan Amerika.
Sama ada Trump menukar pendirian, yang jelas dapat dilihat apabila beliau menjenamakan semula Pentagon sebagai Jabatan Perang masih memerlukan sedikit masa.
Bagaimanapun, ramai pemimpin dunia terburu-buru mempercayai bahawa bumi Gaza akan kembali aman.
Matlamat itu hampir mustahil. Pertama sekali kerana pemimpin Israel sebelum ini dan seterusnya termasuk Benjamin Netanyahu berulang kali menyatakan bahawa tiada penyelesaian dua negara seperti yang diimpikan masyarakat antarabangsa, period!
Slogan popular bahawa dunia perlu meneruskan tekanan ke atas Israel supaya akur kepada road map itu kelihatan sempurna di atas kertas. Bagaimanapun, sebelum mencapai matlamat tersebut, apa kata dunia bersatu memaksa Israel membuka pintu sempadan untuk membawa masuk bantuan makanan kepada rakyat Palestin. Inilah yang asasi, adakah dunia mampu melakukannya?
Israel dikenali dalam lembaran sejarah kerana berulang kali melanggar syarat perjanjian sebelum ini berhubung krisis Palestin dengan menggunakan pelbagai alasan.
Matlamat terulung mereka adalah untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan Yahudi pada zaman Nabi Sulaiman. Perkara itu jelas tertera pada lencana yang dipakai askar Israel menampilkan peta Greater Israel.
Israel telah berpuluh-puluh kali mencabuli resolusi Majlis Keselamatan dengan sokongan Amerika Syarikat khususnya meluaskan dan membina penempatan haram baharu di wilayah Tebing Barat selain melanggar
Perjanjian Oslo, Konvensyen Geneva dan pelbagai persetujuan dengan Hamas sebelum ini.
Tiada tanda-tanda Israel menghormati pelan damai Asia Barat sebelum ini dan begitu juga sekarang. Adakah gencatan senjata terbaharu ini satu sandiwara, kemungkinannya sangat tinggi!














