KITA dikejutkan dengan kematian murid lelaki tahun empat di tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, diikuti kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka dirogol dua pelajar tingkatan lima di dalam kelas. Tidak hanya dirogol, ada rakaman video dan disebarkan kepada rakan-rakan sekolah.
Beberapa hari lalu, satu lagi kes berlaku di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor apabila seorang pelajar perempuan tingkatan empat mati ditikam berkali-kali oleh pelajar lelaki tingkatan 2 hanya kerana menolak cinta!
Mengarut, namun itulah hakikatnya. Mulut kita menyumpah, kegilaan apakah yang sedang berlaku ketika ini? Orang alim beristighfar menyebut ini mungkin kifarah dosa? Orang politik, cendekiawan pula marah mempersoalkan sistem pendidikan, dasar kerajaan, menyalahkan ibu bapa dan segala perkara yang dirasakan tidak kena dengan acuan pemikiran masing-masing.
Pergi lebih mendalam, gajet, keterbukaan dunia digital tanpa sempadan, ketidakcaknaan ibu bapa, penjaga terhadap kebebasan penggunaan telefon pintar paling dipersalahkan. Itu iblis-iblis jahat dirasakan senjata merasuk minda anak-anak sehingga mereka tewas mengikut rasa dan akhirnya binasa oleh perlakuan sendiri.
Mulut boleh bercakap sahaja ketika ini. Kita merasakan ini bencana jiwa kesan kerosakan yang tidak terawat.
Datanglah apa sahaja punca, mental tidak stabil ekoran cinta ditolak, buli yang entah daripada sekecil-kecil perkara menjadi penyebab, namun tindakan dahsyat yang tergamak dilakukan itu bukan natijah itu seminggu dua, itu pekung yang sudah lama membusung menunggu waktunya pecah, busuknya menyentak lena semua.
Memikirkan semua itu, tanpa mengira status sosial, setiap yang bergelar ibu bapa semuanya bimbang. Anak-anak sedang membesar, mereka bukan sahaja buah hati harapan keluarga, namun di tangan mereka juga tergenggam risiko kemodenan dunia.
Yang sudah menemui ajal, kuburnya digalinya semula. Yang dituduh bersalah, diheret ke mahkamah dan akhirnya ada hukuman menanti kelak. Kes itu selesai di situ tetapi benih kerosakan sudah melata, membiak dan pasti akan tumbuh lagi. Siklusnya berulang-ulang.
Tuan-tuan dan puan-puan, ini bukan masa untuk menyalak. Sudah terlalu lama kita menjadikan tragedi sebagai bahan bual kosong tanpa perubahan yang benar-benar berlaku.
Masalah ini bukan baharu, namun bencana jiwa yang lama terpendam dan meletus sebagai tragedi. Anak-anak tidak tiba-tiba menjadi kejam, mereka dibesarkan dalam dunia yang semakin hilang panduan. Rumah yang sunyi, sekolah yang terikat dan media sosial yang berkuasa perlahan-lahan membentuk mereka tanpa arah.
Guru hilang suara dan ‘rotan’, ibu bapa sibuk bekerja menyerahkan tanggungjawab membentuk jiwa kepada gajet. Lalu, terdidiklah generasi yang tidak tahu menilai antara kasih dan kezaliman, antara perhatian dan obsesi.
Realitinya, kita sedang hidup dalam zaman di mana adab jiwa mati lebih cepat daripada manusia. Hentikanlah penafian. Akui yang rosak bukan sistem, tetapi kita semua. Nampaknya, anak-anak juga tidak perlukan lebih banyak pagar sekolah, yang diperlukan adalah lebih banyak sempadan hati kemanusiaan mereka.














