PILIHAN joran pelbagai, ada yang gemar menggunakan joran pendek 4’6’ dan ada yang suka pakai joran sepanjang 6’. Pada masa sama, ada yang guna joran teleskopik sahaja.
Penting sekali, ia seharusnya dalam kelas ringan antara 2-6, 4-10 atau 6-12 paun (lb). Tip joran, sebaiknya jenis lembut untuk merasai getuan udang yang halus dan mengimbangi berat batu ladung dengan saiz biasanya mengikut kekuatan arus sungai.
Kekili saiz 2000 dan ke bawah dengan mainline diisi tali sulam atau mono bawah 10lb sudah memadai untuk menahan asakan daripada udang galah.
Cuma di sesetengah tempat seperti di Teluk Intan, Perak, pemancing perlu memakai tali sulam kerana kehadiran ikan buntal yang kerap memutuskan tali mono.
Saya lebih gemar menggunakan batu ladung bentuk buah kana yang berlubang di bahagian atas dan bawahnya untuk memasukkan tali. Ia menjadi ‘hidup’ kerana boleh bergerak di atas tali.
Saiznya harus bersesuaian dengan kekuatan arus sungai supaya dapat kekal di dasar sungai tanpa tertolak dek arus.
Saiz bergantung antara nombor 2, 3, 4, 5, 6, atau 7. Lebih berat dari itu akan memberi kesan terhadap hujung joran yang lembut.
Di hujung tali utama selepas batu ladung akan diikat satu swivel kecil.

Kemudian di hujung swivel yang satu lagi akan diikat perambut tali mono ataupun fluorocarbon berkekuatan antara enam hingga 10lb bergantung kepada tahap sensitiviti udang galah dan kepadatan struktur reba di lokasi pancingan.
Perambut dan umpan
Perambut selalunya saya buat bercabang dua, dan jarak di antara perambut dengan swivel sekadar sejengkal untuk cabang pertama serta dua jengkal untuk cabang kedua.
Jika tali perambut terlalu panjang, udang akan menarik umpan ke dalam reba tanpa terasa getuannya di hujung joran, dan akan berakhir dengan sangkut.
Umpan perlu pelbagai seperti cacing tanah, udang beras, perumpun, ikan guppy dan sebagainya kerana ada kalanya udang galah makan memilih. Jadi kepelbagaian umpan boleh memberi sedikit ruang untuk percubaan mana yang dimahukan.
Peralatan lain yang perlu disediakan adalah life jacket, jaring penyimpan tangkapan udang supaya ia bertahan hidup sehingga habis trip, loceng penggera getuan, tangguk kecil, playar, gunting, lampu suluh kepala, parang, bekalan makanan dan minuman.
Apa-apa pun, set pancing udang haruslah mengikut bajet masing-masing. Gunalah peralatan yang mahal jika berkemampuan, namun set berharga ekonomi juga boleh menaikkan udang galah tanpa apa-apa masalah.















