fbpx
Pancingan ajing juga boleh dilakukan dari atas jeti kerana struktur jeti itu sendiri menjadi ‘rumah’ ikan.

‘Ajing game’ semakin popular di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Terdapat pelbagai jenis pan­cingan ultralight, salah satunya adalah ‘ajing game’, seni pan­cingan ‘halus’ yang berasal dari Jepun.

‘Aji’ ialah panggilan orang Jepun untuk spesies ikan laut pelagik saiz kecil yang hidup berkumpulan. Paling tepat adalah spesies horse mackerel (Trachurus japonicus).

Namun, ikan-ikan kecil lain seperti mackerel, sardin, spesies trevally dan kategori ikan ‘aji’ yang bersaiz kecil serta hidup berkumpulan di laut menjadi sasaran.

‘Ajing’ pula adalah gelaran bagi pemancing yang menjadikan ikan aji ini sebagai sasaran.

Penulis bersama ikan ebek di hamparan batu Pantai Sabak, Kelantan.

Di Jepun, ajing game dimulakan kerana dua faktor utama. Pertama, kepuasan dan adrenalin yang diperolehi apabila melayan ikan bersaiz kecil menggunakan peralatan yang ultralight.

Kedua, aji merupakan antara ikan yang enak dimakan sama ada dijadikan sashimi atau dibakar.

Setup ajing hanya perlukan joran halus sepanjang enam hingga tujuh setengah kaki, kekili spinning saiz 1000 hingga 2000, tali braided PE0.1 hingga 0.4 atau fluorocarbon paling halus.

Gewangnya pula adalah soft plastic (SP) saiz antara satu hingga dua inci jenis worm atau paddle tail yang disematkan di jighead berat 0.4 hingga 2 gram (g).

Versi Malaysia
Malaysia tidak mempunyai spesies ikan aji yang sebenar seperti di Jepun. Namun, di sini terdapat pelbagai spesies ikan pelagik lautan saiz kecil.

Lantas di negara kita ia digelar ‘gaya pancingan ajing’ atau ‘ajing game style’.

Ada juga yang memanggilnya ‘mini pelagic game’, target ikan pula adalah kembung, pelata, selar kuning, selar papan, lolong, cencaru, anak gerepoh, anak cupak dan ebek.

Keadaan ini juga membuatkan rakan-rakan pemancing dari Jepun cemburu dengan senario pancingan ajing di negara kita kerana mereka hanya mempunyai beberapa spesies ikan aji untuk dipancing, itupun bermusim.

Antara peralatan ajing yang digunakan termasuk jighead dan SP saiz mikro.

Sebaliknya, kita dapat melayan pancingan ajing dengan lebih banyak lagi spesies ikan untuk sepanjang tahun.

Kini, pemancing ajing di Malaysia semakin bertambah kerana kos permulaannya rendah dan teknik ini mudah dipraktikkan di kawasan jeti, pantai, muara atau dari atas bot.

Selain menguji kesabaran dan hasil tangkapan juga boleh dijadikan hidangan lazat untuk seisi ke­luarga.

Dengan kepelbagaian spesies dan lokasi yang ada, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan menjadi pusat rujukan ajing di rantau Asia Tenggara.

Tip persembahan
Dalam dunia memancing, teknik persembahan umpan memainkan peranan yang sangat penting.

Walaupun menggunakan jighead dan SP saiz mikro (jighead SP) sama seperti pemancing Jepun, namun cara kita menggayakan umpan boleh memberikan hasil berbeza mengikut jenis ikan yang menjadi sasaran.

Setiap spesies ikan mempunyai tabiat dan cara pemakanan berbeza. Oleh itu, kita perlu menyesuaikan teknik persembahan SP mengikut keadaan dan jenis ikan hendak dipancing.

Contohnya, memburu ikan ebek memerlukan teknik yang tersendiri, iaitu mempersembahkan jighead SP secara perlahan dan terkawal.

Caranya, selepas membuat lontaran, biarkan jighead SP mencecah dasar. Joran kemudiannya disentap pendek (jerk) ke atas sebanyak tiga kali.

Selepas itu biarkan jighead SP tenggelam semula ke dasar.

Ulangi langkah sama secara berterusan, kunci utama adalah jangan terlalu gopoh. Berikan sedikit masa kepada jighead SP untuk tenggelam dan kelihatan seperti ikan kecil yang sakit.

Jika ada ikan ebek di perimeter sama, pergerakan jighead SP yang perlahan dan tidak terlalu agresif ini boleh menarik perhatiannya.

Bagi ikan selar, lolong, pelata dan kerong, tekniknya pula agak berbeza dan lebih mudah dilakukan.

Ikan-ikan ini biasanya datang berkumpulan dan kehadirannya boleh dilihat melalui aktiviti di permukaan air.

Apabila ternampak gerombolan ikan ini, cepat-cepat lontar jighead SP terus ke arahnya. Sebaik sahaja ia mencecah air, terus karau pantas sambil melakukan sentapan-sentapan pendek.

Apa yang penting, pastikan jighead SP sentiasa bergerak dan berada dalam kawasan ikan sedang berkumpul.

Jika lontaran tepat dan persembahan jighead SP bersesuaian dengan kemahuan ikan, peluang untuk mendapat sambaran biasanya lebih tinggi.

Kadang-kadang, ikan lebih tertarik dengan pergerakan perlahan, ada masa pula ia lebih agresif terhadap jighead SP yang dimainkan laju.

Jadi, selain pemilihan warna, saiz jighead SP, cara kita mempersembahkannya juga sangat penting.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN