fbpx
BEBERAPA orang berjalan di tengah-tengah bangunan runtuh di Khan Younis, Gaza baru-baru ini. – AFP

‘Kami mahu balik bangunkan Gaza’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Pelajar Palestin yang menuntut di negara ini berikrar untuk pulang ke tanah air mereka selepas gencatan senjata pada 10 Oktober lalu bagi membina semula Gaza yang hancur akibat pepe­rangan.

Mereka termasuklah pasangan kembar yang belajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini.

Mansour Tariq Mansour Wafi dan Mohammed Tariq Mansour Wafi masing-masing berusia 19 tahun menuntut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Sains dan Teknologi serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM.

Mansour Tariq berkata, pepe­rangan yang berlarutan selama dua tahun sejak Oktober 2023 meninggalkan luka yang begitu mendalam dalam jiwa rakyat Palestin.

“Insya-Allah, jika berpeluang saya mahu kembali membantu membina semula negara saya selepas tamat pengajian. Buat masa ini saya mahu fokus terhadap pelajaran terlebih dahulu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohammed Tariq pula berkata, dia bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) sebelum kembali ke tanah air untuk menyumbang kepada usaha pemulihan negaranya.

“Jika keadaan mengizinkan dan perang benar-benar berakhir, saya mahu pulang. Saya mahu membantu membina semula bandar saya dan menyokong rakyat saya. Ilmu yang saya pelajari di sini akan dimanfaatkan untuk Palestin,” katanya.

WAHIB IMAD

Kedua-dua pelajar itu turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap perjuangan Palestin.

Perang Gaza yang bermula 7 Oktober 2023 menyaksikan lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh, manakala berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal dengan sebahagian besar wilayah tersebut musnah.

Walaupun gencatan senjata dicapai baru-baru ini yang menyaksikan pertukaran tahanan dan kemasukan bantuan kemanusiaan, keadaan di Gaza masih dianggap ‘rapuh’ dan belum pulih sepenuhnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Palestin, Wahid Imad Darabee, 19, lega dengan perkembangan tersebut dan berasa seperti dapat ‘bernafas semula’ selepas melalui hari-hari yang sangat sukar.

Pelajar USIM itu berkata, walaupun lega, namun perasaan bimbang itu tetap ada kerana pengalaman lalu menunjukkan gencatan senjata di wilayah berkenaan sering kali tidak bertahan lama.

“Saya agak risau sebab sebelum ini walaupun sudah ada gencatan senjata (dimeterai), dan ia tidak selalunya untuk tempoh yang bertahan,” katanya.

Cerita pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu itu, dia mengakui sukar untuk mempercayai berita tersebut.

“Saya segera menyemak pelbagai laman berita untuk kepastian. Ia terasa seperti sesuatu yang tidak nyata, tapi dengan cara yang baik seolah-olah ada harapan semula,” katanya.

Pemuda itu berkata, walaupun keluarganya berada di Tebing Barat, namun dia masih mempunyai saudara jauh dan rakan-rakan di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN