KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM470 bilion menerusi Belanjawan 2026 yang merencana kewangan tahunan untuk era mendatang sebagai jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional yang menyeluruh.
Belanjawan Madani Keempat itu menandakan lembaran pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk tempoh jangka panjang yang mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2026 yang mengangkat tema Belanjawan Rakyat akan memulangkan hasil daripada reformasi berani Kerajaan Madani kepada rakyat.
Jelas beliau, peruntukan Belanjawan 2026 meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus; RM81 bilion belanja pembangunan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD.
“Belanjawan adalah sebuah pernyataan moral, sebuah ikrar sejarah dan sebuah perjanjian yang tulus dan luhur antara kerajaan dan rakyat terbanyak. Belanjawan Madani Keempat akan menjawab serta mencakup persoalan serta cabaran ekonomi semasa.
“Menyusun dan merangka jalan bagi mengelak kebejatan dan keterlanjuran. Kita menolak budaya menumpuk hutang tanpa kawalan, kita melawan ketirisan dan kebobrokan dan kita benci kemewahan kelompok elit yang dibayar dengan kesengsaraan rakyat.
“Kita memilih jalan berliku, sukar dan panjang yakni jalan reformasi, disiplin fiskal yang tegas dan pengukuhan institusi kerana hanya jalan itu sahaja dapat menjamin negara ini dapat diselamatkan dalam tempoh jangka panjang.
“Belanjawan Madani Keempat adalah saksi bahawa kita memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional yang menyeluruh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat di sini semalam.
Anwar berkata, Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada 4.4 peratus dan unjuran semula KDNK 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus membuktikan ekonomi negara kekal berdaya tahan walaupun dunia diasak perang tarif Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kata beliau, ekonomi Malaysia bagi tahun 2026 diunjur berkembang lebih rendah antara 4.0 hingga 4.5 peratus susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan sengketa geopolitik serta geoekonomi yang berterusan.
Beliau berkata, Kerajaan Madani konsisten dalam menurunkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada tahun 2022, lima peratus (2023), 4.1 peratus (2024) dan bertekad mencapai 3.8 peratus bagi tahun 2025, manakala tahun 2026 disasarkan turun kepada 3.5 peratus.
“Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal daripada RM100 bilion 2022, RM92 bilion (2023), RM77 bilion (2024), sekitar RM77 bilion (2025) dan diusahakan untuk turun lagi tahun ini.
Dengan disiplin berterusan, defisit fiskal tiga peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan, pada tahun hadapan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion berbanding RM334.1 bilion untuk unjuran tahun ini.
“Lazimnya, apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, akan dikenakan cukai tambahan. Tapi kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat.
“Dengan menggunakan kaedah sedemikian, kita berjaya melaksana langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel,” katanya.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, badan-badan penguat kuasa berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion.
Kata beliau, penguatkuasaan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
“Terbaharu, PDRM berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang. Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan.
“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah RM15.5 bilion. Tidak dapat dimungkiri segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan,” katanya.














