KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Energia Areena Vanta, Finland sebentar tadi, gandingan No.8 dunia itu tewas 12-21, 14-21 kepada beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Turun bertemu pilihan ketiga kejohanan, Soon Huat-Shevon cuba untuk memberikan tentangan, namun akur dengan kekalahan dalam tempoh 34 minit.
sebagai rekod, ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Shevon-Soon Huat kepada Dechapol-Supissara selepas turut tewas dalam dua pertemuan terdahulu.
Menerusi kekalahan tersebut, pasangan suami isteri itu memiliki masa beberapa hari bagi melakukan persiapan menjelang kejohanan Terbuka Denmark minggu depan.
Pada saingan musim ini, Soon Huat-Shevon boleh dianggap menampilkan aksi cukup konsisten apabila kerap melangkah ke suku akhir selain mara ke separuh akhir sebanyak dua kali. – KOSMO! ONLINE














