GEORGE TOWN – Kos sara hidup, harga rumah mampu milik dan pengurangan cukai menjadi antara tumpuan sebahagian besar 34 juta rakyat negara ini menerusi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan hari ini.
Rata-rata penduduk Malaysia berharap intipati belanjawan di bawah Kerajaan Madani itu menumpukan kepada langkah-langkah konkrit berhubung ketiga-tiga perkara tersebut yang semakin membelenggu terutama golongan B40 dan M40.
Ejen insurans, M. Sethu, 43, berkata, bantuan dan insentif yang diberikan tidak seharusnya memfokuskan golongan B40 semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira beban ditanggung isi rumah kumpulan M40.
“Kumpulan M40 turut merasai bahang kenaikan kos sara hidup. Jadi untuk Belanjawan 2026 esok (hari ini), saya amat harap ada khabar gembira dari segi pelepasan cukai tambahan.
“Antara yang boleh dipertimbangkan pelepasan cukai sehingga RM4,000 bagi langganan internet, platform pembelajaran atau alat kerja digital,” katanya.
Menurut Sethu, pengurangan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September lalu merupakan antara langkah positif dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat, namun mengakui kesannya tidak begitu ketara.
Pengurus hotel, Tony Goh pula mengharapkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan hari ini lebih inklusif dengan mekanisme jelas bagi menstabilkan harga barangan asas sekali gus mengurangkan tekanan ekonomi keluarga yang berpendapatan sederhana.
“Kerajaan perlu menilai semula struktur subsidi agar manfaatnya dirasai oleh semua isi rumah. Langkah sementara tidak cukup sekiranya inflasi dan kos perkhidmatan terus meningkat,” ujarnya.
Katanya, isu inflasi tidak dapat dielakkan setiap tahun, oleh itu kerajaan perlu mencari mekanisme cukai yang adil dan mampan.
“Saya percaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan sistem cukai terbaik. Ia tidak menjejaskan semua lapisan masyarakat kerana hanya mereka yang membeli barangan atau perkhidmatan tertentu dikenakan cukai. Ia (GST) dilihat lebih telus dan mampu menjana hasil tanpa menekan rakyat secara langsung,” ujarnya.
Jelasnya, struktur percukaian sedia ada perlu disemak semula agar tidak menyebabkan peningkatan kos berganda dalam rantaian perniagaan yang akhirnya ditanggung oleh pengguna.
Sementara itu, operator kilang di Bayan Lepas, Shamir Latip, 38, berharap Belanjawan 2026 memberi sinar baharu buat dirinya untuk memiliki rumah sendiri.
Isu kediaman mampu milik dan insentif bersasar bagi membantu golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri antara yang diharapkan lelaki tersebut.
“Besar harapan saya agar kerajaan terus memberi fokus terhadap keperluan utama rakyat khusus mereka yang belum mampu memiliki rumah sendiri.
“Besar harapan saya agar belanjawan kali ini memfokuskan isu perumahan, sokongan pembiayaan dan insentif bersasar buat B40 yang sudah lama mengimpikan untuk memiliki rumah.
“Ini yang kami tunggu, harap ada berita gembira. Sudah lama kami simpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, tapi masih belum mampu, hanya menyewa,” katanya.
Belanjawan 2026 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada pukul 4 petang hari ini dengan tema ‘Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’.
Di Shah Alam, kenaikan kos sara hidup dan impian memiliki rumah sendiri turut menjadi fokus penduduk yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Pekerja kiosk makanan, Nursyamira Razali, 30, berharap lebih banyak kediaman mampu milik dibina pada masa hadapan supaya rakyat dapat menikmati kehidupan lebih selesa.
“Jika dicampur gaji saya dan suami sebagai juruukur swasta cuma RM3,100. Sekarang kami menyewa rumah RM700 sebulan.
“Harga rumah ketika ini kami hanya mampu tengok, tambahan pula saya mempunyai tiga orang anak yang berusia tujuh hingga 11 tahun,” katanya.
Bagi Azlan Manaf, 45, cabaran kewangan bukan hanya dialami dirinya, malah ramai keluarga lain yang jauh lebih sukar.
“Selain rumah mampu milik, saya amat berharap bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) ditambah,” katanya yang mempunyai enam anak.
Di Putrajaya, Anwar berharap agar pembentangan Belanjawan 2026 iaitu siri keempat Belanjawan Madani berjalan lancar.
“Doakan semuanya selamat, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir di Kementerian Kewangan semalam.
Perdana Menteri kemudiannya menandatangani semua dokumen berkaitan Belanjawan 202















