PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas pihak yang memuat naik semula kritikan lama beliau di media sosial berhubung pemain naturalisasi.
Menurutnya, beliau membuat kritikan berhubung pemberian kerakyatan itu pada tahun 2022 sedangkan keadaan sudah berubah di bawah Kerajaan Madani.
“Ada pihak mengungkit hantaran lama saya bertarikh 2022 untuk menunjukkan kononnya wujud unsur tidak konsisten tetapi fakta hari ini sangat berbeza.
“Kerajaan Madani memberikan keutamaan kepada kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau dalam satu hantaran di media sosial bertarikh 1 September 2022 mengkritik pemberian kerakyatan kepada pemain pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuc.
Pemain kelahiran Huddersfield, England itu meraih kewarganegaraan Malaysia selepas melengkapkan proses naturalisasi.
Hannah mempersoalkan perlukah semua anak tanpa kerakyatan di Malaysia bermain bola sepak dahulu sebelum pihak berkuasa mengambil peduli nasib mereka.
Hantaran itu disebarkan semula di media sosial rentetan isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, baru-baru ini.
Hannah menjelaskan, di bawah Kerajaan Madani, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak telah ditubuhkan pada tahun 2023.
Menurut beliau, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyelesaikan 49,000 permohonan kewarganegaraan dan tiada kerakyatan yang tertunggak.
Ujar beliau, belum ada Menteri Dalam Negeri menunjukkan sifat belas ihsan dan kecekapan seperti yang dilakukan oleh Saifuddin Nasution.
Kata beliau, di bawah kepimpinan Saifuddin Nasution juga Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan ibu warga Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara.
“Membezakan fakta adalah satu latihan yang sangat penting dalam dunia digital hari ini. Tentera siber dan segelintir ahli politik gemar memilih hantaran secara rawak tanpa menggunakan daya fikir yang kritis,” katanya. – KOSMO! ONLINE














