MISI kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mencetuskan gelombang baharu dalam kalangan rakyat negara ini.
Dari yang tertidur lena tentang kesengsaraan bumi Palestin kini seperti disentak terjaga, sekali gus kembali membuka mata tentang perjuangan solidariti belum berakhir.
Itu semua dikejutkan dengan semangat juang lebih 500 aktivis termasuk 23 delegasi Malaysia yang berjihad mempertaruhkan nyawa demi agama dan kemanusiaan.
Bukan sahaja rakyat Malaysia, kehadiran sosok Greta Thurnberg yang terus lantang bersuara tentang Gaza meski selepas dibebaskan dari tahanan Zionis layak dijadikan contoh terbaik kepada erti sebuah perjuangan.
Kata Greta, kesengsaraan dan genosid di bumi Gaza boleh dihentikan sekiranya suara seluruh dunia bersatu dan jangan sesekali melupakan kekejaman Zionis.
Penglibatan dan inisiatif mereka menggunakan media sosial menguar-uarkan tentang jihad kecil itu di seluruh pelosok dunia penulis anggap berjaya.
Usaha itu terus meledakkan semula solidariti bagi membebaskan bumi Palestin dari penjajah zalim.
Jika dilihat semula, pelayaran kapal-kapal kecil di Laut Mediterranean yang membawa misi kemanusiaan tanpa sebarang senjata bukan ancaman ketenteraan, sebaliknya simbolik kepada tuntutan kebebasan, keadilan dan penolakan terhadap kezaliman.
Baru-baru ini juga, pelakon Datin Seri Umie Aida pernah berkongsi pandangan bahawa misi kemanusiaan GSF yang disertai lebih 40 buah negara itu diharap tidak ‘meriah’ hanya seketika.
Namun, dalam keterujaan ramai melaungkan solidariti dalam menuntut hak Palestin, terselit beberapa individu yang mempertikai usaha tersebut kerana kumpulan berkenaan gagal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagi mereka, usaha tersebut disifatkan sia-sia dan membuang masa selain gagal menyalurkan bantuan berupa makanan dan ubat-ubatan.
Berkongsi pandangan, pendakwah bebas, Amin Idris berkata, tidak semua individu mampu dan berani untuk belayar selama sebulan menuju ke lokasi yang umum tahu bahaya menanti.
“Konsepnya begini, kalau tak boleh nak buat seperti mana mereka buat, janganlah kita memperlekehkan usaha orang.
“Kalau kita tak boleh nak membantu, paling kuranglah jangan sekat orang yang membantu. Semua pihak perlu faham tujuan asal GSF iaitu pecahkan kepungan dan pecahkan kebisuan.
“Memang nampak seolah-olah tak berjaya tetapi kalau kita lihat daripada dulu, ini sudah kali ke-37 dan sudah ada banyak perubahan positif,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Amin, pelayaran kali ini berjaya memecah masuk zon merah yang sebelum ini dikawal ketat oleh tentera Zionis.
Katanya, usaha memecahkan kepungan tersebut dilakukan susulan kegagalan kuasa-kuasa politik untuk melakukannya, maka rakyat mengambil alternatif untuk bertindak mengikut laluan laut.
“Hakikatnya, dulu nak masuk zon kuning pun susah tetapi sekarang kita berjaya melepasi zon merah.
“Percayalah, kalau terus berusaha pasti akan ada hasilnya.
“Kini, disebabkan, seluruh dunia kembali bercakap tentang Palestin sekaligus memecahkan kebisuan.
“Justeru, kalau nak pertikaikan sesuatu, faham dulu apa tujuan utama gerakan dilakukan. Jangan main belasah, tuduh dan sembur sahaja,” katanya lagi.















