fbpx
KES jangkitan influenza di Selangor melonjak lebih 80 peratus dengan kebanyakannya dikesan berpunca dari institusi pendidikan. – GAMBAR HIASAN

Influenza merebak di sekolah, IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kes influenza di Selangor melonjak lebih 80 peratus dalam tempoh se­minggu yang dikatakan berpunca dari ­institusi pendidikan, namun pihak berkuasa masih belum mendapat cadangan daripada pejabat ke­sihatan untuk penutupan sementara premis.

Kes di negeri ini meningkat da­ripada 602 kes pada minggu berakhir 20 September kepada 1,128 kes pada minggu berakhir 27 September lalu.

Exco Kesihatan Awam negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, sebanyak 64.7 peratus daripada jumlah kes berkenaan berpunca daripada institusi pendidikan termasuk prasekolah hingga ke institut pengajian tinggi.

“Sejak minggu epidemik (ME) pertama pada 8 Mac hingga ME 39 pada 27 September, sebanyak 88 lokasi wabak dikesan dengan purata tiga lokasi setiap minggu.

“Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melalui pejabat kesihatan daerah sentiasa memantau situasi dan melaksanakan penilaian risiko di lapangan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Jamaliah, sebarang arahan penutupan kelas atau sekolah hanya ditentukan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri selepas mendapat cada­ngan daripada pejabat kesihatan daerah.

Tambahnya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa kesihatan melaksanakan program vaksinasi influenza percuma sejak Februari lalu dengan mengkhususkan kepada warga emas yang mempunyai satu atau lebih pe­nyakit kronik.

ORANG ramai digalakkan untuk memakai pelitup sebagai langkah untuk mengelakkan daripada dijangkiti influenza. – GAMBAR HIASAN

“Ia melibatkan penyakit se­perti diabetes, respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia serta penyakit buah pinggang kronik.

“Vaksin ini boleh diperoleh secara percuma di 82 fasiliti kesihatan kerajaan seluruh Selangor. Namun, masyarakat yang tidak termasuk dalam kumpulan ini digalakkan mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan swasta,” jelasnya.

Sementara itu di Kuala Terengganu, kebanyakan ibu bapa risau dengan peningkatan wabak influenza dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membekalkan pelitup muka kepada anak pergi ke sekolah.

Ada juga yang sanggup mengeluarkan wang mengambil suntikan imunisasi bernilai RM100 bagi setiap ahli keluarga.

Suraya Mohd. Adam, 42, berkata, dia risau apabila dimaklumkan penularan wabak influenza dalam kalangan pelajar tingkatan satu di asrama anak­nya dikesan sebaik pembukaan semula sekolah selepas musim cuti dua minggu lalu.

“Walaupun anak tingkatan empat tetapi saya minta dia patuh saranan pengurusan sekolah dan pakai pelitup muka di dalam kelas dan surau.

“Saya harap anak dibenarkan pulang untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah sekiranya wabak influenza semakin berlarutan,” katanya.

Ujar Suraya, dia dan suami bercadang untuk membawa anaknya itu mendapatkan suntikan imunisasi influenza.

Di Lipis, sebuah sekolah tahfiz di sini terpaksa ditutup selepas 17 warganya dijangkiti influenza sejak awal minggu ini.

Nurliza Abdullah, 44, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara yang berlaku di sekolah anaknya itu.

KEBANYAKAN kes influenza dikatakan berpunca dari institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika. – GAMBAR JANAAN AI

Katanya, anak lelakinya yang berusia 15 tahun itu mula me­nunjukkan simptom tidak sihat selepas menyertai program perkhemahan di Raub selama tiga hari bermula Selasa minggu lalu.

“Namun keputusan ujian negatif, namun saya tetap berhati-hati dan hanya menghantar semula anak ke asrama pada Ahad selepas keadaannya beransur pulih,” katanya.

“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan ada 17 warga sekolah positif influenza dan sekolah diarahkan tutup,” katanya.

Nurliza turut berkongsi pe­ngalaman apabila mendapati ramai ibu bapa membawa anak ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan selepas menunjukkan simptom seperti batuk, selesema dan demam.

Dia turut berharap agar kerajaan menyediakan ujian saringan influenza yang berharga kira-kira RM80 secara percuma atau bersubsidi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN