SAYA ada membaca berkenaan isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga ada pihak yang menggunakan wajah individu sebenar untuk diubah suai menjadi bahan pornografi melalui teknologi deepfake. Mohon pencerahan berkenaan isu ini.
JAWAPAN: DEEPFAKE AI merujuk kepada penggunaan teknologi AI bagi menghasilkan atau memanipulasi wajah, suara dan tubuh manusia sebenar secara tiruan. Proses ini menggunakan data imej atau rakaman video seseorang yang kemudiannya digabungkan dengan kandungan lain sehingga menampakkan seolah-olah individu tersebut benar-benar melakukannya.
Teknologi ini sering digunakan tanpa pengetahuan atau keizinan mangsa, malah sering disalah guna untuk tujuan yang tidak bermoral seperti pemerasan, pornografi, penipuan dan sebagainya.
Kemajuan teknologi pada zaman kini termasuklah penggunaan AI dalam kehidupan seharian sememangnya memberi banyak manfaat dan memudahkan kerja manusia.
Namun, jika ia tidak digunakan dengan sebaiknya, maka hal ini membuka kepada ruang penyebaran fitnah terutamanya dalam isu pemanipulasian imej, video dan suara yang kelihatan seolah-olah benar, walhal ia hanya palsu semata-mata.
Penyebaran berita palsu dan perbuatan memfitnah jelas merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam sehinggakan Allah SWT menjanjikan balasan yang buruk bagi mereka.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebohkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur:19)
Demikian juga dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berhubung isu penghasilan bahan pornografi menggunakan teknik deepfake AI, meskipun kandungan imej atau video yang dihasilkan itu palsu, namun ia tetap merupakan suatu yang diharamkan kerana perkara tersebut boleh membangkitkan syahwat bagi sesetengah orang melihatnya.
Allah SWT melarang seseorang daripada melihat perkara-perkara yang haram sepertimana dalam firman-Nya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nur: 30)
Imam al-Tabari menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan kepada manusia untuk menjaga pandangan mereka daripada melihat apa-apa perkara yang boleh membangkitkan syahwat iaitu apa dilarang oleh Allah SWT untuk melihatnya.
Menyemak, meneliti dan menyaring setiap maklumat atau berita yang diterima merupakan salah satu akhlak dalam Islam bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat, sekali gus menghindarkan diri daripada sikap tergesa-gesa dan prasangka yang tidak berasas.
Prinsip tabayyun bukan sekadar suruhan agama tetapi juga tuntutan moral dan sosial. Ia melindungi maruah individu, menjaga hubungan sesama manusia dan memastikan kebenaran sentiasa diutamakan.
Sehubungan itu, penggunaan teknologi AI hendaklah diarahkan kepada perkara-perkara yang membawa manfaat serta kebaikan bersama.
Ia perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan kerja, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, memudahkan urusan kehidupan seharian dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Dalam masa sama, penggunaannya mestilah disertai dengan nilai tanggungjawab, etika dan kawalan diri agar tidak disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan kemudaratan, penipuan atau kerosakan.
Dengan itu, teknologi ini akan menjadi medium yang mendekatkan manusia kepada kemajuan seimbang, selaras dengan prinsip agama dan nilai kemanusiaan sejagat.
Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkaitan dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal menyangkut tentang identiti seseorang.
Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban individu.
Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.














