fbpx
PEMAIN muzik MP3 bersaiz kecil merupakan gajet pertama yang dimiliki oleh Fabian.

Jimat duit dengan beli pemain MP3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI  seorang pelakon yang semakin meningkat naik dalam industri hiburan tempatan, Fabian Loo bukan sahaja dikenali menerusi lakonannya dalam filem sedang ditayangkan Magik Rompak, malah juga kerana pandangan jujurnya terhadap gajet yang pernah mewarnai kehidupannya. 

Walaupun ramai selebriti tampil dengan deretan peranti moden terkini, Fabian lebih suka berkongsi kisah awal perjalanannya bersama gajet sederhana yang kini menjadi nostalgia. 

Menurut Fabian, gajet pertamanya bukanlah telefon pintar atau konsol permainan, sebaliknya sebuah pemain muzik MP3 bersaiz kecil. 

“Kalau tak silap, masa itu kapasiti MP3 saya hanya 30MB, boleh simpan lebih kurang 15 lagu sahaja. Setiap minggu kena ‘update’ lagu baharu.

“Walaupun ruang simpanan lagu terhad, MP3 tersebut cukup berharga kerana untuk membelinya, saya berjaya menjimatkan duit yang ketika itu masih bergelar pelajar,” katanya sambil tersenyum mengenang zaman itu.

Dengan harga sekitar RM500 di kedai elektronik, MP3 tersebut menjadi teman setia yang memenuhi minatnya terhadap muzik, terutama genre rock yang ketika itu menjadi kegemaran.

Selepas MP3, perjalanan gajet Fabian beralih ke telefon bimbit. Pilihannya ketika itu adalah Nokia 3310, model ikonik yang terkenal dalam kalangan remaja pada masa itu. 

Namun, titik perubahan besar berlaku apabila dia beralih kepada iPhone selepas tamat kolej sekitar tahun 2014. 

“Sampai sekarang saya masih menggunakan iPhone dan selesa menggunakannya, dari dulu sampai sekarang masih setia.

“Selain telefon pintar, saya turut banyak menggunakan komputer riba yang memainkan peranan besar terutama sewaktu belajar dan kini bergelar pelakon,” ujarnya.

FABIAN mula menggunakan iPhone selepas tamat kolej sekitar tahun 2014.

Katanya, komputer riba digunakan untuk membaca skrip, membuat penyelidikan dan menyiapkan tugasan. 

Namun begitu, Fabian sebenarnya lebih gemar membaca buku fizikal berbanding gajet digital. Walaupun pernah memiliki Kindle, dia merasakan pengalaman menyentuh dan membalik helaian buku lebih bermakna. 

“Buku boleh kita rasa, gajet tak boleh bagi pengalaman itu, saya pernah cuba beralih dengan membaca buku di gajet tetapi kepuasannya tidak sama.

“Pada masa ini, saya sudah puas dengan gajet yang ada dan pada masa sama menambah koleksi buku fizikal untuk bacaan harian,” kongsinya.

Walaupun begitu, Fabian tidak menolak bahawa gajet memberi banyak kelebihan dalam kerjayanya sebagai pelakon. 

Akses kepada laman video misalnya, sangat membantu untuk mencari inspirasi watak atau memahami teknik lakonan yang berbeza. 

FABIAN menggunakan komputer riba untuk membaca skrip, membuat penyelidikan dan menyiapkan tugasan. – Gambar hiasan

Telefon pintar dan internet juga menjadi medium penting untuk membuat kajian watak, selain memudahkannya berlatih serta menambah pengetahuan dalam bidang seni.

Menariknya, walaupun kini hidup dalam era serba digital, Fabian memilih untuk berdepan skrin hanya ketika perlu. 

“Saya hanya melihat skrin untuk kerja dan lebih suka menjaga keseimbangan antara dunia maya dan realiti.

“Pada pandangan saya, setiap selebriti perlu ambil tahu tentang perkembangan teknologi dan menggunakannya sebaik mungkin berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.

Kisah gajet Fabian Loo memperlihatkan sisi sederhana seorang selebriti yang tidak terlalu mengejar trend teknologi. 

Dari MP3 kecil dengan hanya 15 lagu sehinggalah iPhone yang canggih, setiap peranti mempunyai kisah tersendiri dalam perjalanan hidup dan kerjayanya. 

Bagi Fabian, gajet hanyalah alat dan yang lebih penting adalah bagaimana ia membantu dirinya berkembang sebagai individu serta pelakon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN